Sabtu, 4 Februari 2023 | 6:48pm

Menu Rahmah di cafe IPTA selepas Aidilfitri

JOHOR BAHRU: Menu Rahmah akan dilancarkan di 20 kafe institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar Lembah Klang, selepas Aidilfitri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata langkah permulaan itu susulan kerjasama kementeriannya dan Kementerian Pengajian Tinggi, bagi memuktamadkan pengenalan Menu Rahmah di semua IPTA selain institusi lain yang berminat di seluruh negara.

Katanya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi maklum balas positif dan sangat bersetuju pengenalan Menu Rahmah di kafe-kafe IPTA seluruh negara.

"Pegawai KPDN dan Kementerian Pengajian Tinggi akan bertemu dalam masa terdekat bagi segera menyelaraskan pengenalan Menu Rahmah di kafe IPTA seluruh negara.

"Ia berikutan kafe di IPTA di bawah pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi manakala bekalan makanan di bawah bidang kuasa KPDN.

"Insya-Allah, selepas Aidilfitri nanti, kita akan melancarkan Menu Rahmah di 20 Kafe IPTA di Lembah Klang sebagai permulaan, sebelum dilancarkan ke instutusi pengajian tinggi swasta dan lain-lain di seluruh negara selepas itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro, di Bandar Dato Onn, di sini, hari ini.

Menu Rahmah di restoran itu membabitkan hidangan 'chicken chop' bersama minuman mangga pudina berharga RM5.

Semalam, Program Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dilaporkan akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT), dalam masa terdekat.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, perkara itu akan dilaksanakan kementeriannya dengan kerjasama KPDN.

KPDN sebelum ini berkata lebih 15,000 restoran dan premis menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.

Program berkenaan bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.

"Semalam saya terharu apabila seorang ibu di Ipoh, Perak, sanggup meredah hujan dengan menaiki motosikal membawa anaknya bagi mencari hidangan Menu Rahmah.

"Ia sesungguhnya memberi motivasi kepada saya untuk berusaha lebih gigih bagi memastikan program Menu Rahmah dilancarkan di lebih banyak lokasi bagi memberi kemudahan kepada golongan memerlukan," katanya.

Berita Harian X