Sabtu, 4 Februari 2023 | 10:13am
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Foto fail NSTP
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Foto fail NSTP

Hannah akur keputusan PM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memutuskan supaya peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan itu memaklumkan, masih belum diberi taklimat secara terperinci mengenai pengurangan peruntukan berkenaan, yang dijangka akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023.

Bagaimanapun, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu memaklumkan akan menerima keputusan Kabinet dan menerima sebarang peruntukan yang diberikan.

"Belum ada taklimat mengenai penggunaan peruntukan ini, tapi saya rasa kita akan ikut nasihat Kabinet.

"Kalau itu yang diperuntukkan, kita akan tunggu penerimaan. Kita tunggu dulu untuk sidang Bajet 2023, akan bermula tak lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita di program 'Hiking' Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Komuniti Peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal perbelanjaan negara.

Menurut Anwar, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat dan mengikut keperluan.

Bagaimanapun, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi peruntukan pembangunan tambahan kepada Ahli Parlimen bagi projek mendesak seperti memperbaiki infrastruktur surau, jalan raya dan sungai yang mengalami kerosakan.

Sebelum ini, beberapa media yang memetik sumber melaporkan, peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen penyokong kerajaan tahun ini dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan pembangunan itu kerana ia boleh menjejaskan perancangan pembangunan dan kemajuan rakyat serta kawasan terbabit.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu daripada BERSATU, Datuk Rosol Wahid, menyifatkan langkah itu yang menjadikan kekangan ekonomi sebagai alasan, tidak boleh diterima manakala Ahli Parlimen Machang yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyifatkan dasar itu menafikan hak Ahli Parlimen.

Ahmad Fayhsal yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, turut mendakwa tidak menerima sebarang surat daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri mengenai 'hasrat' untuk mengurangkan peruntukan pembangunan itu.

Berita Harian X