PUTRAJAYA: Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bersidang buat kali pertama pada tahun ini menekankan kerajaan akan mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam merangka Belanjawan 2023 yang akan mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang berhemat dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, langkah itu akan dilaksanakan walaupun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global.
"Pada 2022, hutang dan liabiliti kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nisbah khidmat hutang dijangka akan melebihi 15 peratus daripada hasil.
"Pertumbuhan global juga dijangka menyederhana pada 2023 di mana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi," katanya.
Jawatankuasa Dasar Fiskal bertujuan meneliti fiskal kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana.
Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Menurut kenyataan itu, Belanjawan 2023 akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial.
"Ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Malaysia MADANI supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
"Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding KDNK terkawal," katanya.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari ini, akan turut merangkumi langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam yang bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakeloka kerajaan.
"Belanjawan ini juga akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi menggalakkan pembangunan yang inklusif terutamanya melalui pemerkasaan perkhidmatan kerajaan dan infrastruktur luar bandar," katanya.