KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mencadangkan setiap lantikan penasihat kepada menteri dibuat dengan lebih telus termasuk berserta terma rujukan.
Ia susulan pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menimbulkan banyak kritikan, terutama berkaitan nepotisme.
IDEAS memaklumkan, pihaknya yakin dengan keupayaan dan kelayakan bekas Ahli Parlimen selama tiga penggal itu, yang memiliki Sarjana dalam Dasar Awam daripada universiti terkemuka di luar negara dan mengetuai kajian mengenai kemiskinan pelbagai dimensi bersama Felo Kanan IDEAS, Prof Dr Fatimah Kari sebagai ketua penyelidik.
IDEAS juga menghargai hakikat yang Nurul Izzah tidak mengambil gaji bagi jawatan itu.
"Bagaimanapun, pelantikan yang dilakukan dengan cara ini adalah tidak produktif dan mudah membawa kepada persoalan mengenai nepotisme dan konflik kepentingan, malah keputusan dasar awam lain yang akan dibuat pentadbiran ini.
"Ia juga mungkin menjadi contoh bagi pelantikan sama dalam kalangan ahli keluarga lain, yang boleh menjejaskan reputasi pentadbiran, terutama Pakatan Harapan (PH) sudah lama memperjuangkan isu tadbir urus yang baik.
"Justeru, tidak hairanlah timbul persoalan, sama ada proses sewajarnya dipatuhi dalam pelantikan ini, maka perlu ada lebih ketelusan dalam pelantikan penasihat termasuk terma rujukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam temubual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan baru-baru ini, Nurul Izzah memaklumkan, beliau dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Pendedahan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang.
IDEAS berkata, walaupun pelantikan itu mengundang polemik, namun pihaknya berharap ia akan memberi manfaat kepada kepentingan rakyat.
"Nurul Izzah akan dapat bekerjasama dengan kementerian berkaitan untuk mencapai pembaharuan yang amat diperlukan negara.
"Ini termasuk menangani isu struktur ekonomi yang sudah lama melanda negara, seperti mengenai cabaran perlindungan sosial, imbangan fiskal, pembaharuan cukai dan daya saing industri," katanya.