PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan mengadakan pertemuan dengan wakil UMNO minggu depan berhubung usul tambahan membabitkan tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Ketua Pengarah ROS, Nawardi Saad, berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan penuh PAU 2022.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan masa dan tarikh pertemuan yang akan diadakan.
"Setakat hari ini ROS belum lagi menerima laporan penuh (PAU), namun minggu hadapan ROS akan adakan pertemuan dengan UMNO," katanya ketika ditemui BH hari ini.
Sementara itu ditanya perkembangan aduan dibuat dua ahli UMNO dari Negeri Sembilan dan Terengganu, baru-baru ini, Nawardi berkata perkara itu dalam perhatian pihaknya dan siasatan sedang dijalankan.
"ROS ambil maklum perkara itu (aduan), kita sedang siasat," katanya.
Sabtu lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan beliau bersama barisan peguam parti itu akan mengadakan pertemuan dengan ROS dalam waktu terdekat.
Ahmad berkata, pertemuan itu bagi membuat penjelasan berhubung proses PAU 2022 dan pengundian dijalankan secara teratur dan mengikut peraturan serta perlembagaan parti.
Kenyataan beliau itu susulan tindakan dua ahli UMNO mendesak ROS meneliti laporan persidangan PAU 2022 mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang, yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan parti.
Aduan kepada ROS itu dibuat ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.
Mereka mendakwa usul berkenaan adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.
Polemik mengenai usul tambahan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang dan ahli parti itu sendiri.
Susulan itu juga, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan UMNO sebagai parti yang sangat terbuka bagi ahlinya membuat sebarang aduan kepada ROS.
Beliau berkata, sememangnya terdapat klausa dalam Akta Pendaftaran 1966 yang menyatakan keputusan itu perlu dikemukakan kepada ROS.
Ahmad Zahid juga berharap ROS menerima keputusan yang dibuat pada PAU 2022 sebagai keputusan yang absah.