KUALA LUMPUR: Negara kini dilanda episod ketiga hujan lebat berterusan Monsun Timur Laut (MTL), bermula sejak 19 Januari lalu disebabkan luruan monsun.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan luruan monsun itu menyebabkan berlaku hujan berterusan di timur dan selatan Semenanjung serta beberapa bahagian di Sabah dan Sarawak.
Luruan monsun ini juga menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
"Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka berlaku, terutama di negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan utara Sabah," kata MetMalaysia.
Terdahulu, negara berada dalam fasa MTL yang bermula pada 7 November 2022 dan dijangka berakhir pada Mac ini.
Sepanjang tempoh MTL, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut antara 10 hingga 20 kilometer per jam.
Sementara itu, negara juga lazimnya mengalami musim kering atau secara relatifnya kurang menerima hujan pada Monsun Barat Daya, iaitu pada sekitar Mei hingga September.
"Angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan keadaan atmosfera yang lebih kering dan kelembapan udara yang rendah semasa tempoh ini.
"Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh monsun ini. MetMalaysia masih memantau jangkaan cuaca kering pada tahun ini dan akan memaklumkan kepada orang awam sekiranya terdapat perkembangan terkini," kata jabatan itu.
MetMalaysia memaklumkan kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan keadaan La Nina sudah lemah dengan La Nina dan El Nino Southern Oscilation (ENSO) neutral mempunyai peluang sama untuk berlaku dengan 50 peratus kebarangkalian pada Januari hingga Mac tahun ini.
Katanya, berdasarkan laporan Climate Prediction Center, National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) pada 12 Januari, kemungkinan berlaku El Nino adalah sekitar 51 peratus, pada Ogos hingga Oktober.
"Masih terlalu awal untuk meramal kemungkinan berlakunya El Nino kerana kekuatannya dan kesannya kepada negara," katanya.