Isnin, 23 Januari 2023 | 10:34am

Seronok anak menantu berlainan agama berkumpul di rumah

KEMAMAN: "Setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, saya rasa sayalah orang yang paling 'Ong' (bertuah)," kata warga emas, Liew Siah Hwa.

Siah Hwa, 79, berkata dia gembira apabila dapat menyambut perayaan itu bersama anak, menantu, cucu dan cicitnya termasuk yang beragama Islam.

Katanya, dia mempunyai empat anak lelaki yang memeluk agama Islam sejak tahun 80-an manakala seorang anak perempuannya tidak berbuat demikian.

"Bagaimanapun, tiga anak lelaki saya itu telah meninggal dunia dan kini hanya tinggal Mohd Hakimi Keong, 56, dan seorang anak perempuan yang tidak memeluk Islam.

"Walaupun sudah kehilangan suami, semua tiga menantu saya sangat baik dan tetap datang menjenguk saya termasuk bersama-sama menyambut perayaan Tahun Baru Cina," katanya.

Katanya, biarpun terasa sedih kehilangan suami dan tiga anak, dia gembira kerana setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, semua anak, menantu, cucu dan cicitnya berkumpul di rumahnya.

"Kini saya sangat gembira kerana mempunyai 18 cucu serta empat cicit dan setiap kali berkumpul, rumah saya ini akan meriah dan riuh rendah,"katanya.

Siah Hwa berkata, dia bersyukur dan kagum apabila menantunya yang beragama Islam sangat akrab dan mesra dengan anak serta menantunya yang bukan beragama Islam.

"Walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya, kami boleh hidup sekeluarga seperti keluarga orang lain yang sama agama.

"Perayaan kali ini, anak dan menantu saya menyediakan juadah seperti rendang, nasi minyak, pulut kuning, kuih bakul goreng dan kuih bulan," katanya yang memaklumkan kesemua anak dan menantunya itu tinggal di sekitar Kemaman.

Sementara itu, salah seorang menantunya, Nur Khairulnissa Abdullah, 31, berkata, dia tidak berasa asing berada dalam keluarga itu dan sering mengambil berat terhadap ibu mentua serta adik-beradik arwah suaminya.

"Arwah suami, Muhammad Khairul Azizul Seong Liang Heng meninggal akibat kanser paru-paru sejak empat tahun lalu dan saya jaga dan ambil berat ibu mentua seperti ibu saya sendiri.

"Setiap kali perayaan, kami akan berkumpul beramai-ramai dan sehari sebelum Tahun Baharu Cina, kami berkumpul makan besar dengan memasak pelbagai masakan Melayu dan Cina," katanya.

Mohd Hakimi berkata, dia gembira kerana dapat menyambut tiga kali perayaan setiap tahun.

"Setiap tahun saya akan sambut perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Apabila Tahun Baharu Cina, saya akan sambut di rumah ibu dan apabila hari raya Aidilfiti dan Aidiladha, ibu akan datang beraya ke rumah saya," katanya yang memeluk Islam sejak 34 tahun lalu.

Dia yang dikurniakan empat anak berkata, perkahwinan campur memberi kelebihan kepada ahli keluarganya dalam kemahiran menguasai bahasa Melayu dan Mandarin.

"Saya gembira apabila hampir semua ahli keluarga kami dapat menguasai kedua-dua bahasa itu termasuk bercakap dalam loghat Terengganu,"katanya.

Liew Siah Hwa (duduk belakang tiga kiri) berkumpul bersama anak, menantu, cucu dan cicitnya sempena sambutan Tahun Baru Cina di rumahnya. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Liew Siah Hwa (duduk belakang tiga kiri) berkumpul bersama anak, menantu, cucu dan cicitnya sempena sambutan Tahun Baru Cina di rumahnya. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Berita Harian X