Jumaat, 20 Januari 2023 | 3:16pm

KKD sasar bawa masuk pelaburan digital RM55 bilion

bhnews.bharian.com.my

MELAKA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memfokuskan tiga elemen penting yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata ia termasuk pelaburan dalam bidang digital yang dianggarkan berjumlah RM55 bilion, di samping tumpuan kepada pembangunan prasarana, keselamatan data serta keselamatan siber.

Beliau berkata, ketiga negara bergelut dengan keadaan ekonomi tidak menentu, KKD berusaha membantu kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital dengan suasana prasarana mencukupi dan selamat.

Katanya, justeru pihaknya berusaha untuk membawa masuk seberapa banyak pelaburan terutama berkaitan dengan digital bagi memantapkan lagi usaha pembangunan semula ekonomi negara.

"Kalau sebelum ini kita banyak memberikan tumpuan kepada pembinaan pusat pemprosesan data, namun selepas ini kita akan melihat beberapa sektor lain yang perlu diberikan tumpuan, khususnya dalam aspek digital.

"Semua langkah dan tumpuan itu akan diselaraskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang antara lain usaha terbabit bukan hanya memacu pertumbuhan ekonomi pasca COIVD-19, tetapi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital di rantau ASEAN," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Kerja Pelan Strategik KKD 2023-2025 dan Agenda KKD 2023 di Banda Hilir, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, fokus lain bagi pelaburan digital adalah 'nomad pass' dan DE Dagang yang secara tidak langsung dapat membawa masuk lebih banyak bakat baharu dalam bidang berkenaan ke dalam negara.

"Sehubungan itu, MDEC sudah diminta merangka beberapa lagi program strategik serta meneroka beberapa sektor lain dalam pelaburan digital selepas ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata semua anggota kementerian diberi pendedahan mengenai misi baharu Anwar iaitu pembangunan Malaysia Madani yang diumumkan semalam, menerusi pemukiman KKD yang berlangsung selama tiga hari itu.

"Serentak itu, KKD akan menerapkan nilai dan sudut pandang serta kerangka pemikiran yang dibentang oleh Perdana Menteri itu ke dalam setiap program yang akan dilaksanakan oleh kementerian dalam tempoh terdekat," katanya.

Berita Harian X