Ahad, 15 Januari 2023 | 3:45pm
Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir
Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir

'Tiada pertandingan, UMNO boleh dilabel parti autokratik'

KUALA LUMPUR: Keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 meluluskan usul menghalang pertandingan dua jawatan tertinggi parti itu, memperlihatkan seolah-olah parti enggan berubah selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kelulusan usul tambahan itu juga dianggap menyekat demokrasi dalam UMNO dan menghantar mesej negatif pada akar umbi parti dan rakyat secara keseluruhan.

Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir, berkata tindakan perwakilan UMNO menyokong usul itu menunjukkan mereka berada dalam sindrom penafian dan tidak faham mesej disampaikan majoriti orang Melayu yang menolak parti itu pada PRU15.

Katanya, tindakan menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pasti dianggap tidak demokratik dan menjejaskan proses reformasi, peremajaan dan transformasi UMNO.

"UMNO seolah-olah tidak mahu bergerak ke depan, ketika rakyat mahu menyaksikan perubahan dalam parti itu, terutama menerusi perubahan kepemimpinan UMNO.

"Harus diingat, antara faktor menyebabkan UMNO dihukum pada PRU15 adalah kerana reputasi pimpinan tertingginya yang tercemar dan usul tambahan ini berisiko menjadi petanda buruk buat UMNO.

"Kelulusan usul ini mungkin mencerminkan pendirian perwakilan yang tidak mahu berubah dan ini mungkin menjejaskan usaha menarik sokongan rakyat, kerana undi daripada tiga juta ahli UMNO saja tidak mencukupi jika mahu menang pilihan raya," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas keputusan PAU 2022 semalam yang meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan.

Jeniri berkata, pertandingan dua jawatan itu hakikatnya berpotensi memberi kelebihan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, kedua-dua pemimpin UMNO itu bukan mudah untuk ditumbangkan dan Ahmad Zahid serta Mohamad sepatutnya melihat pertandingan itu sebagai peluang untuk mengukuh dan mengabsahkan kedudukan dalam parti.

"Pertandingan dua jawatan itu tidak semestinya bererti mereka berdua pasti kalah, kerana Ahmad Zahid khususnya memiliki pengaruh kuat pada peringkat bahagian dan sukar ditumbangkan.

"Namun, usul tambahan itu menyebabkan orang ramai melihat UMNO tidak demokratik dan Ahmad Zahid serta Mohamad takut bertanding," katanya yang yakin isu itu akan menjejaskan prestasi UMNO dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman, melihat kelulusan usul tambahan itu menutup ruang demokrasi dalam UMNO dan memberi persepsi buruk pada pihak di luar parti.

"UMNO pernah buat keputusan sebegini dulu, namun seeloknya parti patut memberi ruang kepada semua pihak bertanding mana-mana jawatan, selaras peruntukan dalam Perlembagaan UMNO.

"Yang menyuburkan parti adalah demokrasi. Jika pertandingan ini tidak dilaksanakan, UMNO berisiko dilihat sebagai sebuah parti autokratik," katanya.

Meskipun begitu, Ismail mengakui usul tambahan itu memiliki beberapa kesan positif, khususnya dalam memastikan kestabilan dalam kerajaan perpaduan dikekalkan.

"Dalam kerajaan perpaduan, Presiden UMNO adalah Timbalan Perdana Menteri, manakala Timbalan Presiden UMNO adalah Menteri Pertahanan. Kedua-duanya memegang jawatan kanan.

"Jika berlaku pertukaran kepemimpinan bagi dua jawatan itu dalam UMNO, tentu ia akan mempengaruhi corak pentadbiran dalam kerajaan perpaduan," katanya.

Berita Harian X