KUALA LUMPUR: Isu pertandingan dua jawatan utama kepimpinan tertinggi UMNO dalam pemilihan parti yang akan datang, tidak dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu sebaliknya hanya membincangkan persiapan program Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, esok.
"Memang menjadi kelaziman bahawa mesyuarat khas akan diadakan oleh MKT untuk mendengar laporan daripada Pengerusi Tetap berhubung persiapan Perhimpunan Agung (UMNO).
"Malam ini, Pengerusi Tetap sudah menerima laporan mengenai persiapan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MKT UMNO yang diadakan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Ditanya sama ada MKT berbincang mengenai persiapan dan kerjasama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pula, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara berkenaan dibincangkan pada mesyuarat akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditemui pemberita pula memaklumkan isu pergolakan politik Sabah juga tidak disentuh, dan akan dibincangkan dalam mesyuarat lain.