KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segerakan semakan semula warta berkenaan Pemberian Khas kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dalam cadangannya bagi fasa pelaksanaan Hak-hak Sabah yang masih belum dilaksanakan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau mencadangkan semakan semula di buat atas warta yang bertarikh 20 April 2022 supaya selari dengan formula pemberian semula dua perlima atau 40 peratus hasil Persekutuan kepada kerajaan negeri seperti yang termaktub mengikut Perkara 112(C) Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan juga katanya, perlu menyegerakan penubuhan Jawatankuasa Kerja antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak bagi pemantapan mekanisme kolaborasi pelaksanaan projek Persekutuan di Wilayah Sabah dan Sarawak.
"Kerajaan juga perlu segera melantik wakil negeri pengeluar minyak di dalam Anggota Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN) dan kedudukan mereka perlu setaraf dengan Majlis di peringkat Kebangsaan seperti Majlis Tanah Negara dan Majlis Kewangan Negara," katanya dalam kenyataan, semalam.
Isnaraissah Munirah yang juga Ketua Wirawati Parti Warisan (WARISAN) berkata, penubuhan tabung atau Akaun Amanah Pembangunan Sabah dan Sarawak bagi tujuan merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak juga perlu disegerakan.
Katanya, dengan itu, membolehkan gerak kerja khas dimulakan bagi mencari pendekatan baharu dalam merancang pembangunan Sabah dan Sarawak.
"Kini 90 peratus projek kendalian Kerajaan Persekutuan terbengkalai di Sabah dan hanya 38 peratus peruntukan pembangunan yang diumumkan setiap tahun kepada Sabah dan Sarawak digunakan pada tahun semasa," katanya
Turut dicadangkan peruntukan yang lebih besar kepada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira keluasan kawasan parlimen yang dipertanggungjawabkan.
Selain itu, beliau juga mencadangkan Kabinet meluluskan pertambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak supaya dapat mewakili 35 peratus daripada kerusi Parlimen di Malaysia sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan pelaksanaan MA63 melalui pembentangan Belanjawan 2023 yang mana tidan membabitkan sebarang pindaan akta tetapi pindaan kepada arahan pentadbiran dan pekeliling perbendaharaan.
Beliau menjelaskan, cadangan itu termasuk penetapan setiap satu butiran perbelanjaan yang akan dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak dibutirkan dengan lebih jelas di dalam anggaran Perbelanjaan Persekutuan supaya mudah dipantau.
"Turut boleh dilaksanakan dengan meminda pekeliling Perbendaharaan (PB 2.6 dan PB 2.5) dengan melarang viremen dan pindah peruntukan ke atas perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi butiran berkaitan Sabah dan Sarawak.
"Jika dalam keadaan tertentu yang tidak dapat dielakkan, pekeliling Perbendaharaan boleh membenarkan pindahan peruntukan dilakukan dengan syarat kelulusan daripada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak perlu diperolehi terlebih dahulu.
"Lebihan peruntukan pembangunan yang tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa perlu disimpan semula di dalam Tabung atau Akaun Amanah Pembangunan Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan peruntukan tahunan bagi tahun berikutnya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut mencadangkan bagi fasa ketiga pelaksanaan MA63, kerajaan diminta mempertimbangkan ketika Sidang Parlimen Ke-15 pada Penggal Pertama dan Kedua menyelesaikan isu-isu perundangan mengenai empat perkara berkaitan petroleum.
Katanya, pertamanya adalah isu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum; kedua, isu mineral minyak dan medan minyak; ketiga, isu Akta Laut Wilayah (Akta 750) dan keempat hak negeri ke atas Pelantar Benua.
"Bagi sidang Parlimen juga dicadangkan supaya pindaan di buat atas Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) bagi menaik taraf Majlis Penasihat Petroleum Negara.