Khamis, 29 Disember 2022 | 7:56pm
Foto hiasan Perhimpunan Agung UMNO
Foto hiasan Perhimpunan Agung UMNO

Isu 2 jawatan tertinggi UMNO: Ketua bahagian berbeza pandangan

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO peringkat akar umbi berbeza pendapat mengenai polemik sama ada dua jawatan tertinggi parti perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya Mei depan.

Ada ketua UMNO bahagian bersikap terbuka, ada mengambil pendirian selamat untuk mendapatkan pandangan akar umbi terlebih dahulu dan ada bersetuju jawatan presiden serta timbalan presiden tidak dipertandingkan atas hujah bagi membolehkan kepemimpinan kerajaan dan politik stabil terlebih dahulu.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, berkata polemik pertandingan dua jawatan tertinggi itu masih bersifat spekulasi kerana belum ada mana-mana pihak menyatakan hasrat mahu mencabar presiden dan timbalan presiden sedia ada.

Datuk Rizalman Mokhtar.
Datuk Rizalman Mokhtar.

Bagaimanapun, beliau terbuka dengan saranan supaya dua jawatan berkenaan dipertandingkan kerana yakin UMNO sudah cukup matang untuk berdepan proses pemilihan tanpa menyebabkan perpecahan dalam parti.

"Sehingga hari ini, saya sebagai ketua bahagian tak dihubungi mana-mana pihak yang ada hasrat nak bertanding jawatan presiden atau timbalan, belum ada nama lain muncul selain presiden dan timbalan presiden sedia ada. Sebagai ketua bahagian, kita akan tahu," katanya kepada BH, hari ini.

BH hari ini melaporkan, empat daripada lima penganalisis politik berpendirian dua jawatan tertinggi UMNO itu perlu dipertandingkan bagi mempertahankan proses demokrasi dalam parti dan untuk menentukan mandat baharu perwakilan berhubung pimpinan mana dipercayai untuk memimpin UMNO.

Prestasi buruk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mencetuskan dua pandangan, iaitu parti berkenaan memerlukan kepemimpinan baharu atau pemimpin tertinggi sedia ada perlu dikekalkan demi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Rizalman berkata, UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan untuk memberi laluan kepada PRU15 bagi mengelak perpecahan, namun kini pilihan raya sudah selesai dan parti perlu matang untuk menghadapi proses demokrasi jika pemilihan jawatan tertinggi diadakan.

Sementara itu, Ahli MKT UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata beliau akan mengikut pandangan akar umbi dalam menentukan sama ada dua jawatan tertinggi itu perlu dipertandingkan atau sebaliknya.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

"Saya akan tanya akar umbi dulu, pandangan mereka akan saya bawa ke mesyuarat MKT. Ada atau tidak pertandingan, ia mesti ditentukan akar umbi," katanya sambil meengaskan, pihak yang mahu merebut jawatan tertinggi parti tidak boleh sekadar bergantung pada nama dan pengaruh semata-mata.

"Mesti ada misi, visi jelas mengenai hala tuju parti. Yang nak tawar diri untuk jawatan presiden, timbalan atau MKT sekali pun, kena beritahu mana mereka nak bawa UMNO. Tak boleh sekadar bergantung pada nama dan kedudukan untuk minta undi perwakilan.

Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani pula berpandangan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan kali ini bagi membolehkan kepemimpinan kerajaan dan politik stabil terlebih dahulu.

Datuk Ramlan Askolani.
Datuk Ramlan Askolani.

"Keputusan pemilihan berkemungkinan besar akan menjejaskan kerajaan (jika Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tewas) kerana mungkin akan ada usaha jatuhkan perdana menteri. Jika ini berlaku, akan kembali semula situasi 2018 hingga 2022, pelabur akan lari dan akhirnya rakyat terbeban," katanya.

Seorang lagi Ahli MKT yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berkata semua pihak perlu menyerahkan kepada MKT untuk memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi dipertandingkan atau sebaliknya.

Datuk Armand Azha Abu Hanifah
Datuk Armand Azha Abu Hanifah

"Kita tunggu keputusan MKT. Buat masa ini, baik kita fikirkan untuk perkukuh parti selagi pemilihan belum berlangsung," katanya.

Berita Harian X