Khamis, 29 Disember 2022 | 12:34pm

Jurujual bertelekung untuk mencuri di masjid mengaku bersalah

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang bertelekung untuk mencuri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri telefon bimbit milik dua jemaah wanita di dua masjid di Seksyen 18, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman bagi menunggu laporan sosial berikutan tertuduh adalah pesalah muda.

Mengikut dua kertas pertuduhan, Mohamad Amirul Shafiq yang juga jurujual didakwa melakukan curi dalam bangunan dengan mencuri telefon bimbit milik dua wanita warga emas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua masjid di Seksyen 18 iaitu Masjid Al-Azhariah pada jam 6.25 pagi dan Masjid Al-Hidayah pada jam 8.50 malam, pada 20 Disember lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memohon penetapan tarikh bagi mengemukakan laporan sosial tertuduh yang masih muda.

Pihak pendakwaan juga menawarkan ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Mohamad Amirul Shafiq yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan pengurangan kos jaminan.

Majistret kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Januari depan bagi pendengaran laporan sosial tertuduh.

Tertuduh dibawa ke mahkamah untuk menghadapi dua tuduhan mencuri telefon bimbit jemaah wanita di dua masjid di Shah alam - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Tertuduh dibawa ke mahkamah untuk menghadapi dua tuduhan mencuri telefon bimbit jemaah wanita di dua masjid di Shah alam - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X