Selasa, 20 Disember 2022 | 1:12pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KDNK dijangka meningkat tetapi ekonomi tidak menentu

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 berkemungkinan melepasi kadar ditetapkan dalam unjuran awal.

Perdana Menteri berkata, KDNK berkemungkinan direkodkan antara 6.5 hingga 7 peratus, melebihi unjuran awal susulan sentimen ekonomi yang kekal positif menjelang hujung tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi ekonomi 2023 memberangsangkan ekoran pembukaan semula ekonomi, selaras fasa peralihan ke endemik COVID-19.

Pemulihan ekonomi ketika ini, katanya, turut menurunkan kadar pengangguran kepada 3.6 peratus pada Oktober lalu.

"Pun begitu, ia masih belum pulih seperti kadar guna tenaga penuh sebelum krisis COVID-19, iaitu 3.3 peratus dan kebimbangan kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur bawah 25 tahun yang masih tinggi iaitu mencecah 10 peratus.

"Bagi 2023, tinjauan ekonomi dunia mansang (semakin) tidak menentu dan mencabar. Kekusutan konflik geopolitik yang berlaku menekan inflasi global dan melemah pertumbuhan ekonomi. Kenaikan harga komoditi dan bahan makanan turut memberi dampak kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.

"Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global menurun daripada 3.2 peratus untuk 2022 kepada 2.7 peratus pada 2023," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan akan mendukung prinsip keseluruhan negara dalam mendepani kesan ekonomi global, selain meminta semua pihak bersama kerajaan dalam memformulasikan pendekatan menyeluruh.

"Golongan mahakaya dan konglomerat yang meraih laba besar susulan peningkatan harga komoditi dan subsidi kerajaan mesti turut menyumbang ke arah sejahtera rakyat terutamanya B40, M40 dan peniaga kecil.

"Syarikat BERNAS misalnya, telah bersetuju untuk menyumbang RM10 juta bagi tahun ini dan RM50 juta bagi 2023 kepada pesawah miskin," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan memperkukuh petunjuk ekonomi dan mengembalikan pelabur selain membina semula Malaysia yang sejahtera.

Beliau juga mengakui terharu dengan sambutan dan sokongan negara luar yang memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan Malaysia, terutama bagi meneroka potensi perdagangan serta pelaburan, sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

"Misalnya, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menawarkan supaya Agensi Pelaburan Brunei meneroka peluang pelaburan baharu di Malaysia, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"Bagi terus memacu ekonomi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan ditugaskan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan meningkatkan pelaburan berkualiti ke arah menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia, terutamanya untuk golongan belia.

"Pada masa sama, kawal selia pekerja asing juga dipusatkan di Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan pemain industri dapat berkembang maju, khususnya sektor komoditi, pembinaan dan pelancongan," katanya.

Berita Harian X