PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996, bagi menyumbang idea dan pandangan dalam merangka serta menambah baik hala tuju pendidikan negara.
Selepas diaktifkan kelak, majlis berkenaan akan dianggotai 15 ahli terdiri pemegang taruh dalam bidang pendidikan seperti aktivis, guru, bekas guru dan ahli akademik.
Sehubungan itu, Menterinya, Fadhlina Sidek, menggalakkan cadangan nama yang sesuai untuk menganggotai majlis berkenaan, dengan anggota MPPK akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Saya akan mengaktifkan semula MPPK seperti termaktub bawah Akta Pendidikan 1996. Dengan adanya MPPK ini nanti, diharapkan akan dapat menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.
"Perkara ini termasuk memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) yang akan berakhir pada 2025," katanya pada sidang media khas di kementeriannya petang ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM diterajui beliau akan mengambil pendekatan lebih holistik melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak berkepentingan.
Beliau juga akan memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksanakan mengikut proses ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan berkaitan.
Katanya, hasrat beliau selaku Menteri Pendidikan adalah untuk melihat murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera, yang akan menjadi keutamaan KPM.
"Untuk mencapainya, KPM akan mempertingkatkan kerjasama dengan semua pihak seperti Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM), Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) serta pihak berkepentingan lain untuk mendapatkan pandangan serta input," katanya.
Komited teruskan dasar pendidikan sedia ada
Selain itu, Fadhlina turut memberi jaminan bahawa dasar pendidikan sedia ada termasuk Transformasi Pendidikan oleh pentadbiran sebelum ini akan diteruskan, disertai dengan penambahbaikan proses penyampaian bagi menjamin kecekapan dan keberkesanannya.
"Saya mendapati ada beberapa penambahbaikan daripada aspek proses penyampaian dan perkhidmatan pendidikan yang perlu dilaksanakan.
"Aspirasi KPM sudah cukup jelas, oleh itu setiap perkara yang hendak diputuskan perlu diteliti dan dikaji secara berhemah dan budaya ini akan terus dibawa oleh KPM," katanya.
Ketika sesi soal jawab pula, Fadhlina mengesahkan KPM akan membuat semakan semula terhadap silibus pembelajaran tahap satu seperti desakan pakar pendidikan sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan, pakar pendidikan berpendapat bahawa silibus pembelajaran murid sekolah rendah tahap satu sepatutnya mengambil kira tahap kemampuan kanak-kanak dan tidak terlalu sukar sehingga membebankan.
Pakar Pendidikan, Prof Madya Dr Hasnah Toran, dilaporkan berkata, ia berikutan murid tahap satu sebenarnya perlu terlebih dahulu menguasai kemahiran asas seperti mengira dan mengeja.