Isnin, 12 Disember 2022 | 2:22pm
Aktiviti pertanian dan pembukaan tanah sekitar Tanah Tinggi Lojing ketika musim tengkujuh ini menggusarkan penduduk Orang Asli terhadap risiko tanah runtuh dan banjir lumpur. NSTP/ Paya Linda Yahya
Aktiviti pertanian dan pembukaan tanah sekitar Tanah Tinggi Lojing ketika musim tengkujuh ini menggusarkan penduduk Orang Asli terhadap risiko tanah runtuh dan banjir lumpur. NSTP/ Paya Linda Yahya

Musim tengkujuh: Orang Asli rayu aktiviti pertanian di Lojing dihentikan sementara

GUA MUSANG: Kira-kira 3,000 penduduk Orang Asli sekitar tanah tinggi Lojing di sini, resah dan berharap aktiviti pertanian di kawasan itu, dapat dihentikan buat sementara waktu ketika musim tengkujuh ini.

Aktiviti pertanian dan penerokaan tanah yang berterusan di kawasan tanah tinggi itu dibimbangi akan menyebabkan tanah runtuh dan banjir lumpur.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng, berkata kebimbangan penduduk ini berasas apabila Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengeluarkan amaran potensi berlakunya tanah runtuh di beberapa kawasan panas termasuk di Lojing.

Katanya, setiap kali hujan penduduk Orang Asli di kawasan tanah tinggi itu terdedah dengan risiko tanah runtuh, hakisan bukit dan banjir lumpur.

"Sehingga kini, kami masih trauma dengan kejadian runtuhan tanah sehingga mengakibatkan banjir lumpur di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing, awal tahun lalu.

"Saya berharap pihak berwajib dapat membuat pemantauan rapi di kawasan berisiko yang membabitkan kerja-kerja pertanian.

"Aktiviti itu dipercayai boleh membahayakan bukan sahaja masyarakat Orang Asli tetapi juga pengguna jalan raya yang sering melalui jalan Lojing," katanya ketika ditemui di Tanah Tinggi Lojing, di sini, hari ini.

Penduduk, Along Busu, 56, berkata sejak hujan berterusan beberapa hari lalu masyarakat Orang Asli di kawasan itu sentiasa hidup dalam keadaan berjaga-jaga.

"Tidur kami pun tidak lena, bimbang sekiranya berlaku tanah runtuh atau banjir kerana hujan berterusan beberapa hari walaupun tidak lebat.

"Kalau boleh kami mahu pekebun mengurangkan aktiviti pertanian buat sementara waktu ketika cuaca hujan.

"Bila habis musim tengkujuh mereka boleh mula balik kerana kesannya memang tinggi dan kami yang tinggal di pinggir kawasan kebun akan jadi mangsa jika berlaku banjir lumpur atau tanah runtuh," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berharap pihak berkuasa khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat memantau aktiviti berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti banjir lumpur, hakisan bukit dan tanah runtuh.

Katanya, antara kampung Orang Asli yang berisiko dengan ancaman itu ialah di Kampung Jedip, Kampung Sengsang, Kampung Brooke Lama, Kampung King Kong, Kampung Sangwai A dan B, Kampung Sendrop dan Kampung Bahong.

Semalam, media melaporkan beberapa kawasan berpotensi berlaku tanah runtuh, susulan amaran hujan berterusan kategori buruk dan waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

JMG berkata, kawasan 'hotspot' tanah runtuh bagi negeri yang mengalami amaran hujan berterusan tahap buruk membabitkan Kelantan (Tanah Merah, Lojing, Gua Musang dan FELDA Aring) serta Terengganu (Marang, Dungun, Kenyir-Kuala Berang).

Berita Harian X