KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri dan 10 pemimpin yang pernah menjawat timbalan menteri disenaraikan dalam barisan timbalan menteri baharu Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Beliau adalah antara 27 timbalan menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.
Selain itu, Setiausaha Agung UMNO, yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Ahmad Maslan pernah menjawat jawatan yang sama ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2013 hingga 2015.
Turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim daripada DAP, yang sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 hingga 2020.
Bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, yang mana ketika pentadbiran PH yang lalu, beliau adalah Timbalan Menteri Pendidikan.
Turut tersenarai, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Chin Tong pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 2018-2020 atas kapasitinya sebagai Senator.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negara.
Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib diberikan portfolio sebagai Timbalan Menteri Ekonomi. Sebelum ini, beliau menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bawah pentadbiran PN.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilantik Timbalan Menteri Kerja Raya, manakala Ahli Parlimen Limbang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Hasbi Habibollah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Kurup pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sebelum ini, Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan memegang jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya ketika pentadbiran PN dan BN.
Berikut adalah senarai Timbalan Menteri : -
Timbalan Menteri Kewangan
- Datuk Seri Ahmad Maslan
- Steven Sim Chee Keong
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
- Datuk Rubiah Wang
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi
- Siti Aminah Aching
Timbalan Menteri Pengangkutan
- Hasbi Habibullah
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
- Chan Fong Chin
Timbalan Menteri Ekonomi
- Datuk Hanifah Hajar Taib
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan
- Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Timbalan Menteri Pertahanan
- Adly Zahary
Timbalan Menteri Kerja Raya
- Datuk Abdul Rahman Mohamad
Timbalan Menteri Dalam Negeri
- Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
- Liew Ching Tong
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
- Datuk Seri Yusuf Apdal
Timbalan Menteri Sains dan Teknologi
- Datuk Arthur Joseph Kurup
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
- Aiman Athirah Sabu
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
- Fuziah Salleh
Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi
- Ramkarpal Singh
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
- Datuk Sri Huang Tiong Sii
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
- Saraswathy Kandasami
Timbalan Menteri Luar Negeri
- Datuk Mohamad Alamin
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
- Khairul Firdaus Akbar Khan
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital
- Teo Nie Ching
Timbalan Menteri Pendidikan
- Lim Hui Ying
Timbalan Menteri Belia dan Sukan
- Adam Adli
Timbalan Menteri Sumber Manusia
- Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud
Timbalan Menteri Kesihatan
- Lukanisman Awang Sauni
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
- Datuk Wilson Ugak Kumbong