Jumaat, 9 Disember 2022 | 6:08pm

Syor pengecualian cukai jalan kereta bawah 3.0 CC di Sabah

Oleh Izwan Abdullah

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan disaran supaya mengecualikan cukai jalan terhadap semua kenderaan baharu dan terpakai berkapasiti 3,000 CC (3.0 CC) ke bawah bermula tahun depan.

Perkara itu dicadangkan Parti Warisan (WARISAN) supaya dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan ditambah baik dan dibentangkan semula oleh Kerajaan Perpaduan nanti, khususnya untuk manfaat penduduk di Sabah.

Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua, berkata cadangan itu mengambil kira infrastruktur jalan raya di Sabah yang kebanyakannya dalam keadaan daif terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, cadangan itu juga selaras dengan 'agenda rakyat' di bawah Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu yang menekan rakyat.

"Seiring dengan nada 'agenda rakyat', saya berharap agar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan menimbangkan untuk memberi kelegaan segera kepada rakyat Sabah terutama di kawasan pedalaman yang sedang dihimpit masalah infrastruktur yang begitu teruk sekali.

"Saya dan semua Setiausaha WARISAN dari 25 bahagian di negeri ini berharap saudara Anthony memberi pertimbangan yang sewajarnya ke atas cadangan-cadangan ini untuk meringankan beban yang sedang dipikul oleh rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain pengecualian cukai jalan, WARISAN turut menggariskan cadangan agar Kementerian Pengangkutan mengusulkan kepada Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan untuk memberi 50 peratus subsidi insurans kenderaan baharu dan terpakai berkuasa 2.5 CC ke bawah.

Loretto berkata, WARISAN juga mencadangkan kerajaan Pusat memberi subsidi 'one off' sebanyak 20 peratus ke atas alat ganti kereta yang berkaitan dengan jalan raya seperti 'suspension', 'spring' dan 'mounting' untuk kenderaan berkuasa 2.5 CC ke bawah di Sabah.

"Saya mengharapkan cadangan ini diserapkan ke dalam Belanjawan 2023 yang sepatutnya dibentangkan sekali lagi oleh Kerajaan Perpaduan, manakala tempoh penguatkuasaan semua cadangan ini bolehlah dihadkan kepada dua tahun (2023/2024).

"Saya juga bersedia untuk bertemu dengan saudara Anthony bila-bila masa sahaja untuk membincangkan perkara ini kerana ini ialah isu yang cukup kritikal bagi rakyat Sabah khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman," katanya.

Sementara itu, Loretto berkata rakyat Sabah menaruh harapan tinggi terhadap kepemimpinan Anwar dalam menyelesaikan segera masalah ekonomi dan stagflasi yang semakin meruncing di negeri ini.

Katanya, ada persamaan di antara PH dan WARISAN yang mana kedua-duanya mahu menyelesaikan isu kenaikan harga barangan yang mendadak, keadaan ekonomi yang lesu dan masalah pengangguran yang tinggi sedang ditanggung rakyat Malaysia.

Berita Harian X