Jumaat, 9 Disember 2022 | 5:46pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Sungai Triang masih lepasi paras bahaya

KUANTAN: Sungai Triang di Triang, Bera masih melepasi paras bahaya setakat jam 5 petang, hari ini.

Laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, paras air Sungai Triang merekodkan bacaan 34.98 meter (m) berbanding 34.50m yang ditetapkan.

Sementara itu, paras air Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera melepasi paras amaran iaitu 31.01m berbanding 31m.

Empat sungai lain pula melepasi paras waspada iaitu Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan dan Sungai Belat, di Seri Damai, di sini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini, mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Pahang iaitu di daerah Jerantut dan Kuantan) sehingga esok.

Hujan berterusan tahap waspada pula membabitkan daerah Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin sehingga esok.

Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.

Bagi amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang yang dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh itu di beberapa kawasan.

Berita Harian X