Jumaat, 9 Disember 2022 | 5:39pm
Keadaan bangunan sekolah tinggal yang dijadikan penempatan pekerja warga asing ketika tinjauan di Taman Desa, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Keadaan bangunan sekolah tinggal yang dijadikan penempatan pekerja warga asing ketika tinjauan di Taman Desa, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sekolah usang jadi 'asrama' pekerja asing

KUALA LUMPUR: Tindakan tidak bertanggungjawab majikan gagal menyediakan kemudahan penginapan sewajarnya dipercayai menjadi punca lebih 50 pekerja warga asing dan tempatan terpaksa tinggal di bangunan sekolah usang yang sudah lama ditinggalkan di Jalan Desa Utama, Taman Desa, di sini.

Walaupun sekolah usang itu dianggap bangunan tinggal yang kotor dan menyeramkan, namun mereka tidak mempunyai pilihan, selain terus tinggal di 'asrama' itu bagi membolehkan mereka bekerja mencari rezeki di sebuah kawasan pembinaan berstatus elit berhampiran.

BH yang meninjau sekolah tinggal itu, mendapati tapak sekeliling kawasan sekolah dipasang zink sebagai pagar penghadang bagi memastikan orang luar tidak memasuki kawasan itu, namun beberapa keping zink dicabut untuk dijadikan laluan keluar masuk pekerja terbabit.

Difahamkan, bekas bangunan asal Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Perdana itu dikosongkan sejak 2005 akibat masalah strukturnya dan sejak itu, sekolah berkenaan terbiar sehingga kini.

Sekolah itu dikatakan diarahkan tutup demi keselamatan murid dan guru selepas terkesan akibat beberapa kesan retakan pada dinding sekolah.

Tinjauan BH mendapati penghuni di situ kebanyakannya warga Indonesia, diikuti warga Bangladesh dan rakyat tempatan.

Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Hadi, 30-an, berkata dia berasal dari Indonesia dan baru menetap di situ kira-kira dua bulan lalu selepas berpindah kerja dari Johor ke sebuah kawasan pembinaan berhampiran.

"Saya dan beberapa rakan baru saja menetap di sini dan pada masa ini terdapat lebih 50 penghuni lain turut mendiami satu daripada bangunan sekolah ini yang dijadikan tempat tinggal pekerja.

"Sebelum ini, terdapat lebih 100 penghuni di sini, namun ramai di antara mereka sudah berpindah ke tempat lain. Selain warga asing, ada juga pekerja warga tempatan yang tinggal di sini.

"Hanya satu blok empat tingkat ini saja dijadikan asrama kediaman kami, manakala bangunan lain memang kosong dan tidak berpenghuni. Terdapat bilik di sini yang kami jadikan tempat berehat, tidur serta ruang memasak," katanya.

Bekalan air ditakung untuk kegunaan semua pekerja asing mandi.
Bekalan air ditakung untuk kegunaan semua pekerja asing mandi.

Hadi berkata, walaupun kawasan sekolah ini sudah usang dan ditinggalkan terbiar serta kotor, namun semua penghuni dapat meneruskan kehidupan sebaiknya kerana masih terdapat bekalan air paip serta elektrik.

"Kami difahamkan bangunan sekolah usang ini ada pemiliknya dan majikan kami dikatakan membayar sewa kepada 'pemilik' terbabit bagi membolehkan kami tinggal di sini, tetapi kami tidak pasti siapakah individu itu.

"Walaupun serbi-serbi kekurangan, namun kami semua hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang pertelingkahan, kerana kami sama-sama mencari rezeki halal di sini," katanya.

Rakannya, Wansyah, 20-an, berkata pada awalnya dia berasa kurang selesa tinggal di situ kerana keadaannya yang menyeramkan terutama pada waktu malam.

"Kami tiada pilihan dan terpaksa tinggal di bangunan usang ini dalam keadaan serba kekurangan sebab majikan tidak menyediakan tempat yang sepatutnya untuk pekerja tinggal.

"Selepas seharian penat bekerja membina bangunan, di sinilah tempat kami berehat. Sebagai pekerja asing, situasi ini terpaksa dihadapi kami yang merantau mencari rezeki dan menerima apa saja yang disediakan majikan," katanya.

Keadaan bangunan sekolah tinggal yang dijadikan penempatan pekerja warga asing ketika tinjauan di Taman Desa, Kuala Lumpur.
Keadaan bangunan sekolah tinggal yang dijadikan penempatan pekerja warga asing ketika tinjauan di Taman Desa, Kuala Lumpur.

Seorang lagi penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Zaki, berkata kawasan sekolah ini juga kerap didatangi pemburu aktiviti paranormal yang menghasilkan video di media sosial dan YouTube.

"Boleh dikatakan setiap minggu pasti ada orang datang membuat rakaman video. Kebanyakannya adalah mereka yang mahu merakam cerita seram yang berlaku di sekolah ini," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga gerai berhampiran kawasan sekolah itu yang mahu dikenali sebagai Alif berkata dia memang mengetahui terdapat sekumpulan pekerja pembinaan tinggal dalam kawasan sekolah terbiar itu.

"Rasanya baru setahun dua ini saja sekolah itu dijadikan tempat tinggal pekerja. Pada waktu pagi sekitar jam 7 atau 8 pagi, mereka akan pergi ke tapak pembinaan yang terletak tidak jauh dari sini dan pulang pada lewat petang dan malam.

"Setakat ini tiada sebarang masalah timbul dan sekolah ini memang sudah lama terbiar tanpa ada sebarang aktiviti selama ini. Mungkin sebab itu ada pihak mengambil peluang menggunakannya sebagai tempat tinggal," katanya.

Berita Harian X