Jumaat, 9 Disember 2022 | 5:21pm
Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

Nak 'move on' tak bermakna kita buat tak tahu

KUALA LUMPUR: Walaupun Barisan Nasional (BN) merekodkan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, tiada bedah siasat dilakukan kepimpinan gabungan parti itu bagi mengenal pasti punca.

Perkara itu didedahkan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mendakwa BN sebaliknya hanya meneruskan 'kehidupan' seperti tiada apa yang berlaku sehingga kekalahan teruk itu berulang pada PRU15.

Dengan hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen pada PRU15, beliau berkata BN perlu sedar diri dan jangan terlalu selesa dengan keputusan mudah, antaranya menetapkan kerjasama dengan parti politik tertentu demi masa depan politik gabungan itu.

"Nak 'move on' (teruskan) ini tak bermakna kita buat tak tahu. 'Move on' ini tak bermakna kita gembira dengan rakan baharu kita sehingga kita lupa kita berada dalam kedudukan hari ini, kerana kita menang 30 kerusi. Kita sudah tak boleh ambil jalan pintas untuk mengelak perbualan yang sukar.

"Saya yakin kita boleh, pemimpin boleh jelaskan keadaan. Kita boleh membiasakan diri dengan situasi yang baharu. Boleh mewajarkan kenapa kita dengan Pakatan Harapan (PH) dan sebagainya. Itu semua ahli pun nak dengar tetapi lebih penting daripada itu, boleh tak kita hadam sebenar-benarnya apa masalah asas dalam parti ini.

"Barulah kita tahu apa yang kita kena ubah kalau tak 30 kerusi boleh tergelincir lebih teruk lagi. Dalam hal ini saya pun bersetuju dengan (Timbalan Pengerusi UMNO Johor) Datuk Nur Jazlan (Mohamed), BN kena buat post mortem (bedah siasat) betul-betul apa yang berlaku pada PRU15. Ini kita tak buat waktu PRU14," katanya menerusi video dimuat naik di Twitter.

Oleh yang demikian, Shahril yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO risau mendengar hujah terlalu mudah berkaitan kerjasama BN dengan PH, bahkan PAS sekalipun.

Berdasarkan hujah yang beliau dengar, kononnya BN boleh meraih undi bukan Melayu apabila bekerjasama dengan PH, manakala dengan PAS pula boleh memperoleh sehingga 130 kerusi.

"Kali ini tak boleh dah. Kali ini extra penting kita buat (bedah siasat) betul-betul kerana (BN) hanya tinggal 30 kerusi. saya pun sudah risau sikit sebab sudah mula dengar hujah-hujah simplistik.

"Kita bersama dengan PH kita boleh menang undi bukan Melayu, sama macam lepas PRU14, kita bersama PAS. Kita campur undi BN, kita campur undi PAS, kita boleh memang 120, 130 kerusi. Adakah anda pasti semudah itu?

"Tanpa perubahan yang sebenarnya, ia tak semudah itu. Kira-kira kita ini tak sama dengan kira-kira pengundi. Ahli kita juga tiga juta. PRU15 hari itu pun kita dapat tiga juta undi dan kita pun tahu tak semua ahli UMNO yang undi BN. Kita kena tanya kenapa?" katanya.

Walaupun nama UMNO sinonim dengan orang Melayu, Shahril berkata ia masih gagal menarik sokongan orang Melayu untuk mengundi parti berkenaan.

Katanya, apa yang beliau bangkitkan bukan untuk menyasarkan pemimpin tertentu sebaliknya untuk semua ahli bermuhasabah dan mula bekerja untuk 'memperbaiki' parti.

"Saya tak kata saya ada jawapan lengkap kepada semua dan tak perasan pun saya boleh buat benda ini bersendirian.

"Tetapi sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO bersama-sama kawan yang lain, kita akan cuba menyumbang ke arah kajian mendalam ini dan apa perubahan apa yang rakyat nak daripada UMNO.

"Kita tak nak tuding sesiapa. Kita pun ada kegagalan masing-masing, ...saya pun ada kegagalan tetapi ini parti warisan emak ayah kita. Takkan kita nak biar macam ini sahaja? Sudah tertulis ini tanggungjawab generasi kita," katanya.

Berita Harian X