Jumaat, 9 Disember 2022 | 4:58pm
Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto fail NSTP
Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto fail NSTP

Parti Melayu Islam bersekongkol dengan DAP, halalkan cara demi kemenangan

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada parti berdiam diri tanpa mengubah dasar partinya untuk bersekongkol dengan DAP yang jelas mempunyai ideologi dan pendekatan anti-Islam.

Katanya, parti itu bertindak demikian demi memperoleh kemenangan dengan menghalalkan cara, tanpa peduli terhadap amaran Allah kepada generasi terawal yang perlu dijadikan teladan.

"Kini, DAP dikatakan kononnya sudah berubah sedang disanjung, walaupun ideologi dan pendekatannya secara terang-terangan bersikap anti-Islam.

"Hal ini demikian kerana mereka berdiam diri tanpa mengubah dasar partinya, bersama parti-parti yang bersekongkol dengannya," katanya dalam hantaran di Facebook.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan DAP secara terbuka menentang hukum Islam dan memberikan sokongan kepada golongan yang murtad.

Katanya, perkara itu sudah menjadi bukti yang sangat nyata dan ramai yang berada di sisi DAP kini menjadi 'syaitan bisu' dan tidak menafikan sikap parti itu yang sebenar.

"Maka, PAS membuat satu keputusan yang betul (tidak bersama DAP) berpandukan panduan nas dan kajian yang mendalam," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, juga menyatakan kebimbangan serangan ke atas usahawan Melayu Islam yang dibuat secara terbuka.

"Adapun kartel-kartel penyangak bukan Islam yang menjadi penyumbang rasuah yang terbesar pula didiamkan, mungkin kerana jasanya yang jahat dan merosakkan itu dikenang.

"Begitu juga, kenyataan mereka yang bersimpati dengan perjuangan komunis dan Tamil Eelam yang ganas terhadap umat Islam mendedahkan apa yang tersirat dalam perjuangannya," katanya.

Turut dibangkitkan mengenai tindakan pemimpin Melayu berwajah Islam yang menentang perkauman, yang sebenarnya menindas bangsa dan agamanya sendiri.

"DAP tidak perlu bercakap banyak kerana sudah ada Melayu berwajah Islam dapat dipasang di semua peringkat, atas nama menentang perkauman yang melulu terhadap bangsa dan agamanya sendiri.

"Tanpa mereka melihat secara ilmu Islam yang membezakan antara fanatik kaum dengan bangsa Islam yang wajib memimpin dengan berlandaskan prinsip yang adil kepada semua," katanya.

Beliau menjelaskan prinsip yang adil kepada semua itu dijelaskan Sarjana Islam Ibn Khaldun RH dalam kitab al-Muqaddimah menjadi rujukan ilmuwan Timur dan Barat, kerana pelaksanaannya yang berjaya dalam konteks masyarakat majmuk.

"Keadaan inilah yang paling ditakuti oleh musuh Islam seperti DAP," katanya.

Beliau menegaskan, Melayu Bumiputera kini dilemahkan ekonominya oleh penjajah mengikut acuan mereka, sehingga dikuasai oleh orang lain di tanah airnya sendiri.

"Kini, mereka mula menunjukkan kelemahan politiknya pula, apabila dipermainkan dengan cara yang tenang laksana tenangnya lubuk yang menjadi perangkap buaya yang menunggu mangsanya untuk ditangkap dan ditelan.

"Caranya sangat mengkhayalkan fikiran dengan 'pil kuda', apabila menampilkan pemimpin yang nyata fasiq berwajah Islam dan bergelumang dengan kesalahan akhlak dan rasuah, bersama kerakusan nafsu pangkat dan harta tanpa sempadan," katanya.

DAP tegas beliau berjaya mengerahkan pengundi dalam kalangan bukan Islam dari seluruh negara dan luar negara supaya menyokongnya dan parti Melayu yang bersekongkol dengannya dan calon DAP dalam kalangan Melayu yang diperalatkan.

"Perkara itu berlaku, dalam keadaan Melayu Islam masih tidak ramai keluar mengundi kerana masih menganggap hukumnya tidak wajib.

"Mereka tidak membaca sejarah bahawa sahabat keluar mengundi secara beramai-ramai untuk memilih Khalifah menjadi ketua negara.

"Sehinggakan, segelintir saja yang tinggal bagi menyelesaikan urusan pengebumian jenazah Rasulullah SAW yang mulia dan paling disayangi," katanya.

Berita Harian X