Jumaat, 9 Disember 2022 | 4:46pm
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mempersembahkan kajian RKK Royal Belum kepada Sultan Perak, semalam.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mempersembahkan kajian RKK Royal Belum kepada Sultan Perak, semalam.

KPKT persembah kajian RKK Royal Belum kepada Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, semalam mempersembahkan kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Taman Negeri Royal Belum Perak kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan, Kor MIng mempersembahkan kajian itu pada sesi menghadap di Istana Hinggap Perak, di sini, yang berlangsung selama sejam bermula jam 3 petang.

"Kajian ini mengenal pasti lima teras perancangan, 20 strategi, 58 tindakan dan 172 cadangan dalam bentuk projek atau program pembangunan dalam tempoh perancangan sehingga tahun 2035.

"Pelaksanaan projek dan program dijangka dapat menangani isu perancangan berkaitan konflik manusia-hidupan liar seperti kemalangan, pencerobohan, pemburuan, pelepasan spesies invasif (Tilapia) dan pencemaran," menurut kenyataan itu.

Selain itu, kajian RKK juga mencadangkan program berkaitan pembangunan komuniti, penyelidikan dan ekopelancongan bagi meningkatkan faedah ekonomi daripada usaha pemuliharaan hutan.

RKK itu meliputi keseluruhan Taman Negeri Royal Belum, yang berkeluasan 128,272 hektar dan mempunyai penduduk Orang Asli seramai 1,081 orang pada 2021.

Taman Negeri Royal Belum diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan di bawah peruntukan Akta Warisan Negara 2005 (Akta 645) pada 2012 dan berpotensi untuk pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Pada sesi menghadap itu, Sultan Nazrin turut mengucapkan tahniah atas pembentukan Kerajaan Perpaduan dan menzahirkan harapan tinggi terhadap kerajaan yang dibentuk.

Sultan Nazrin turut bertitah supaya Kerajaan Perpaduan bekerjasama rapat dengan kakitangan awam.

Sesi menghadap Sultan Perak itu adalah yang pertama buat Kor Ming, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan selepas beliau dilantik sebagai menteri pada 3 Disember lalu. - BERNAMA

Berita Harian X