Jumaat, 9 Disember 2022 | 4:28pm

Mangsa banjir di Terengganu meningkat, lima PPS dibuka

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila seramai 213 mangsa daripada 58 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak jam 7.30 pagi tadi.

Sehingga jam 4 petang ini, sebanyak lima PPS masing-masing dua di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, manakala satu lagi di Besut dibuka.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri, seramai 66 mangsa daripada 18 keluarga dipindahkan ke dua PPS masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering dan SK Atas Tol.

Di Kuala Nerus, seramai 136 mangsa banjir membabitkan 36 keluarga dipindahkan ke PPS di SK Tok Jembal dan SK Bukit Nenas.

PPS terbaharu dibuka adalah di Besut apabila 11 mangsa daripada empat KIR dipindahkan ke Surau Taman Perumahan Bukit Cina.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat meminta penduduk terutama yang tinggal berhampiran sungai dan pantai sentiasa berwaspada serta berpindah ke PPS dengan segera.

Katanya, bilik gerakan bencana di seluruh daerah sudah diaktifkan untuk membantu memindahkan mangsa banjir.

"Kita jangkakan, jumlah mangsa banjir meningkat terutama akan berlaku air pasang besar malam ini.

"Kita menyeru semua penduduk yang tinggal berhampiran pantai dan sungai akan bersiap sedia untuk berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penduduk mengalihkan bot itik ke tempat selamat selepas hujan lebat sejak malam tadı di Pusat Rekreasi Kalang Warisan. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Penduduk mengalihkan bot itik ke tempat selamat selepas hujan lebat sejak malam tadı di Pusat Rekreasi Kalang Warisan. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X