Khamis, 8 Disember 2022 | 8:48pm
Seorang calon PRU15 ditahan polis kerana memiliki senjata tanpa lesen. - Foto fail NSTP
Seorang calon PRU15 ditahan polis kerana memiliki senjata tanpa lesen. - Foto fail NSTP

Calon PRU15 ditahan, miliki dan guna senjata tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan senjata api tanpa lesen serta kebenaran, yang videonya dimuat naik di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berusia 41 tahun di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira jam 10.20 malam semalam.

Difahamkan, wanita itu bertanding di Parlimen di Wilayah Persekutuan, manakala lelaki itu adalah pengawal peribadinya.

Ku Mashariman berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan pada jam 6.53 petang semalam, berhubung kejadian seorang warga tempatan memuat naik klip melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di media sosial.

Katanya, video itu dimuat naik oleh wanita itu di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram.

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ku Mashariman berkata, kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari sehingga 11 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - BERNAMA

Berita Harian X