Isnin, 5 Disember 2022 | 6:01pm
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, keluar dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur selepas selesai memberi keterangan berhubung siasatan kes ucapan berbaur hasutan oleh beliau ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. - Foto NSTP/AZHAR RAMLI
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, keluar dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur selepas selesai memberi keterangan berhubung siasatan kes ucapan berbaur hasutan oleh beliau ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. - Foto NSTP/AZHAR RAMLI

Hadi Awang sedia lawan di mahkamah

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sedia diheret ke mahkamah selepas disiasat polis kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pakatan Harapan (PH).

"Saya memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada polis dan bersedia untuk tindakan selanjutnya, sama ada ke mahkamah atau sebagainya.

"Ini 'giliran' sayalah (disiasat) dan saya nampak kerajaan baru ini, sangat proaktif.

"Saya minta supaya giliran pihak lain iaitu PH, yang (mengeluarkan kenyataan) menyentuh umat Islam juga disegerakan, disiasat sama. Kita tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi, 75, tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pada jam 2.57 petang untuk dirakam keterangan berhubung satu laporan yang dibuat terhadapnya oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, pada 10 November lalu.

Lip Eng, yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendakwa Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap PH, yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis, anti-Raja serta anti-Tuhan dalam ceramah pilihan raya lalu.

Sementara itu, peguam Abdul Hadi, Wan Rohimi Wan Daud, berkata Presiden PAS itu dipanggil untuk dirakam keterangan berikutan laporan polis yang dibuat terhadapnya di IPD Sentul, IPD Dang Wangi dan IPD Alor Setar, Kedah.

"Terdapat beberapa lagi laporan polis dibuat terhadap Presiden PAS (Abdul Hadi) dan jumlahnya tidak dapat dipastikan.

"Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Berita Harian X