Isnin, 5 Disember 2022 | 3:38pm
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

'Semalam aku masih terdengar-dengar kau berkata kita tak akan gadai prinsip demi kuasa'

PASIR GUDANG: Luahan hati Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam bentuk puisi yang ditujukan kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) hari ini menimbulkan tanda tanya.

Ia berikutan bait-bait puisi nukilannya itu menyatakan PKR dan PH seolah-olah menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa.

Dalam puisi bertajuk 'Ku Simpan Risalah Reformasi Di Dalam Peti' yang mempunyai 16 rangkap itu, Hassan meluahkan kekecewaan dengan perkembangan politik terkini yang dipercayai merujuk kepada PKR dan PH yang sanggup membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN).

Beliau secara tersirat, menyatakan bagaimana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberikan jaminan kepada pengundi bahawa beliau tidak akan sesekali menggadai prinsip demi kuasa.

"Maka, aku pun percaya, lalu aku kumandangkan suara keyakinanku ke setiap penjuru tanah air tercinta ini, ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah ke tanah datar aku berbicara.

"Bahawa hidup ini hanya sekali, maka marilah kita rakyat marhaen, warga bawahan rakyat jelata, demi keadilan kita bersama, aku seru kita bawa perubahan hakiki yang kita panggil reformasi," tulisnya dalam puisi yang dimuat naik menerusi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Hassan turut menyatakan perasaan malunya apabila terpaksa membuat keputusan menyimpan semua ucapan dan tulisannya yang mempromosikan reformasi, slogan politik yang sinonim dengan PKR.

"Kini aku malu pada diri sendiri, aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi, separuh jiwaku telah mati, aku merasa tewas, ketika menang tanpa integriti seperti ini," luahnya.

Hassan sebelum ini adalah wakil rakyat PKR yang lantang dan konsisten tidak bersetuju kluster mahkamah dilantik dalam Kabinet kerajaan baharu.

Jumaat lalu, Anwar yang juga Pengerusi PH dilaporkan mengumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, walaupun Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah di mahkamah.

Ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar beberapa kali dilaporkan mengulangi pendirian bahawa kerajaan yang akan dibentuknya sekiranya PH berjaya dalam pilihan raya itu, tidak akan sesekali memasukkan ahli politik yang terpalit kes mahkamah.

PUISI KU SIMPAN RISALAH REFORMASI DI DALAM PETI

Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata
Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa
Maka, aku pun percaya
Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah
Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali
Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,

Demi keadilan kita bersama,
aku seru
Kita bawa perubahan hakiki
yang kita panggil reformasi
Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan real politik
Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri

Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati
Apakah benar?
Yang lurus itu dakwah,
Politik ini bengkang bengkok rupanya?
Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini

Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku
Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini
Kini aku malu pada diri sendiri
Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi
Separuh jiwaku telah mati
Aku merasa tewas
Ketika menang tanpa integriti seperti ini

HASSAN ABDUL KARIM

Berita Harian X