Ahad, 4 Disember 2022 | 5:39pm

Kes mahkamah Ahmad Zahid tidak boleh terjejas kerana jawatan TPM

KUALA LUMPUR: Perjalanan kes mahkamah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya terjejas walaupun beliau sudah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Penganalisis politik dan Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir, berkata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu perlu berhadapan dengan realiti terbabit apatah lagi dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan institusi kehakiman negara adalah bebas.

Beliau berkata, jika Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didapati bersalah, maka Ahmad Zahid mempunyai tanggungjawab moral supaya berundur.

Khairul Arifin Mohd Munir
Khairul Arifin Mohd Munir

"Ia sekali gus akan menyebabkan kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO dan BN terjejas. Jika itu berlaku maka faktanya jelas akan berlaku perubahan dalam Kabinet khususnnya jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang bukan kerana faktor individu tetapi faktor kepimpinan politik.

Beliau berkata realiti pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah disebabkan beliau Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Jadi, katanya, untuk kestabilan politik, Presiden perlu ada dalam Kabinet di mana ia tidak berlaku dalam pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Namun demikian, ia tidak bermakna proses keadilan dan kehakiman diprejudiskan dalam konteks ini, jaminan Perdana Menteri amat jelas untuk memastikan institusi kehakiman bebas malah sudah dimulakan dengan proses lantikan hakim yang bebas dari kuasa legislatif dan eksekutif.

"Pastinya Ahmad Zahid dalam hal ini perlu berhadapan dengan realiti ini dan juga pemilihan agung UMNO akan datang," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, penganalisis politik berpendapat, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sudah menjangkakan situasi itu, sekali gus terpaksa 'mengikat tangannya sendiri' dalam pembentukan Kabinet.

Pada masa ini, Ahmad Zahid dalam peringkat membela diri terhadap dakwaan kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM17.9 juta.

September lalu, Timbalan Perdana Menteri itu dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Pada masa sama, Khairul Arifin berkata, beliau tidak menganggap Anwar 'terikat' dalam hal ini, sebaliknya apa yang berlaku adalah dinamik politik secara berstrategi untuk menyusun satu barisan Kabinet yang benar-benar berkesan bagi menggerakkan dasar baharu negara.

Beliau berkata, tekad politik adalah penting dalam memastikan dasar dibentuk lebih bermanfaat kepada rakyat dan ia suatu yang menarik untuk dilihat bagaimana 'pergerakan' Perdana Menteri dalam mengemudi kerajaan selepas mesyuarat Kabinet pertama nanti.

"Saya berpandangan bahawa sekarang ini bukan masa yang ideal untuk dapat komposisi yang sempurna bagi membentuk Kabinet kerana ia membabitkan rundingan antara parti politik.

"Rakyat menaruh harapan besar supaya wakil rakyat kali ini kurang berpolitik dan lebih mementingkan mereka. Justeru saya tidak melihat tangan Perdana Menteri terikat dalam kerjasama ini tapi ia ruang dan peluang bagi mengukuhkan kedudukan politik demi kemaslahatan rakyat.

"Pastinya PH sedaya upaya nampaknya cuba memperlihatkan idealisme politik termasuk memberi ruang keapada muka baharu menerajui kementerian penting, Perdana Menteri seorang yang cukup berpengalaman dengan latar sejarah kerencaman politik," katanya.

Beliau berkata, dalam sistem negara demokrasi, wajar wujudnya pembabitkan rakyat bersama dalam pembangunan negara namun ia tidak boleh keluar dari bingkai yang dibina sebagai batasan.

Katanya, pemimpin khususnya menteri pula perlu ada kesediaan untuk mendengar dan mengatur tindakan di mana kedua-dua proses ini memerlukan keseimbangan antara kecekapan pentadbir dan kefahaman serta kerjasama rakyat.

Berita Harian X