PUTRAJAYA: Hujan lebat berserta ribut petir di beberapa negeri sejak kebelakangan ini berpunca luruan monsun atau angin timuran kencang sedang bertiup memasuki rantau negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata keadaan itu dijangka berterusan sehingga Ahad ini.
"Angin kencang dijangka bertumpu di timur Sabah dan Pantai Timur serta utara Semenanjung.
"Pada masa sama, satu sistem cuaca tekanan rendah dijangka terbentuk di perairan Laut China Selatan esok dan diramal bergerak ke barat menghampiri Pantai Timur Semenanjung.
"Keadaan ini boleh meningkatkan intensiti hujan di kawasan berkenaan," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata, MetMalaysia sudah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) bagi Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang berkuat kuasa sehingga Sabtu ini.
"Keadaan cuaca di negeri Pantai Barat Semenanjung khususnya Lembah Klang adalah ribut petir berserta hujan lebat yang biasa berlaku pada sebelah petang dan awal malam ketika Monsun Timur Laut," katanya.
RAMALANCUACA SIGNIFIKAN (2 – 8 DISEMBER 2022)
Masa dikeluarkan: 3:00 petang
Tarikh: 01 Disember 2022 pic.twitter.com/JAAbzmS5jG— Jabatan Meteorologi Malaysia (@metmalaysia) December 1, 2022
Mengulas fenomena cuaca sejuk yang dijangka berterusan hingga Februari tahun depan, Muhammad Helmi, berkata ia susulan Monsun Timur Laut yang membabitkan perubahan angin sejuk dari tanah besar China dan pembentukan awan hujan berterusan bermula awal November.
"Apabila awan hujan banyak, pancaran matahari agak terlindung dan menyebabkan suhu lebih rendah berbanding tempoh lain.
"Kawasan tanah rata di pedalaman seperti di Kelantan, Pahang dan Perak kemungkinan akan menjadi lebih sejuk berbanding kawasan lain," katanya.
Beberapa lokasi di seluruh negara mengalami banjir dan banjir kilat susulan hujan lebat dan ribut petir sejak beberapa hari lalu.
AMARAN HUJAN BERTERUSAN (WASPADA). ️️️
Dikeluarkan pada: 1:30 tengah hari, 1 Disember 2022#amaranhujanberterusan#metmalaysia#MenangBersama pic.twitter.com/Wu5IXjTeNc— Jabatan Meteorologi Malaysia (@metmalaysia) December 1, 2022