Rabu, 30 November 2022 | 6:02pm
- Foto BERNAMA
- Foto BERNAMA

Malaysia alami 'musim sejuk' hingga Februari

KUALA LUMPUR: 'Bahang' Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, beransur hilang dan kini diganti dengan cuaca nyaman dan dingin, apabila purata suhu harian negara dilaporkan di antara 22 hingga 30 darjah Celsius.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata fenomena cuaca sejuk itu dijangka berterusan hingga Februari tahun depan.

Katanya ia adalah susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang membabitkan perubahan angin sejuk dari tanah besar China dan juga pembentukan awan hujan yang berterusan bermula awal November.

"Jadi apabila awan hujan banyak, dari segi pancaran matahari agak terlindung yang menyebabkan suhu akan lebih rendah berbanding tempoh masa yang lain," katanya.

Ketika bertanya mengenai suhu terendah yang kemungkinan dialami negara, Mohd Hisham berkata kawasan tanah rata di pedalaman seperti di Kelantan, Pahang dan Perak akan menjadi lebih sejuk berbanding kawasan lain.

"Sebelum ini, suhu di kawasan pedalaman Kuala Krai, Kelantan pernah dicatat antara 17 dan 18 Celsius pada 2014. Jadi, berkemungkinan di kawasan tersebut boleh berlaku lagi (suhu serendah itu)," katanya.

Pakar Meteorologi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata angin dari China itu memasuki Malaysia bermula awal November dan boleh menyebabkan suhu serendah 22 darjah Celsius.

"Perubahan angin monsun ini memang akan memberi kesan kepada suhu dan situasi ini akan turut dipengaruhi oleh geografi atau kedudukan sesebuah kawasan, sekiranya berada di tanah tinggi seperti Genting Highlands suhunya lagi sejuk," katanya.

Beliau berkata cuaca dingin yang dirasai oleh rakyat Malaysia kini merupakan kesan peralihan angin MTL yang datang dari arah utara atau dikenali sebagai luruan monsun.

"Musim MTL ini memberi kesan kepada jumlah cahaya matahari yang diterima di Malaysia yang berkurang selain mendung dan hujan.

"Selain itu faktor sejuk yang dialami adalah berikutan angin Timur Laut yang dibawa dari Siberia," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X