Rabu, 30 November 2022 | 2:22pm

'Kitab pengajian semua habis terbakar'

KOTA BHARU: Mangsa kebakaran yang memusnahkan 10 unit rumah di Pondok Terusan, Pasir Tumboh dekat sini petang semalam, kini tinggal sehelai sepinggang susulan kejadian itu.

Mohd Johan Hashimi, 29, bersama beberapa penghuni lain sedang menghadiri kelas pengajian di masjid berhampiran pondok itu sebelum menyedari kebakaran di kawasan kediaman mereka.

Pelajar Pondok Pasir Tumboh, Mohd Johan Hashimi. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pelajar Pondok Pasir Tumboh, Mohd Johan Hashimi. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau yang berasal dari Kuching, Sarawak, menetap di rumah berkenaan sejak enam bulan lalu dan terkejut apabila dimaklumkan berlaku kebakaran.

"Sebaik mendengar pengumuman berlaku kebakaran di kawasan rumah, saya berlari untuk meninjau keadaan dan mendapati api marak membakar rumah sewa.

"Semua barangan elektrik, telefon bimbit dan kitab pengajian saya musnah dengan kerugian lebih RM5,000.

"Saya memang tinggal sehelai sepinggang sekarang ini, cuma tetap bersyukur kerana terselamat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau adalah antara 15 penghuni mangsa kebakaran yang memusnahkan 10 unit rumah sewa di Kampung Terusan Limbat di Pondok Pasir Tumboh dalam kejadian jam 5 petang semalam.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan pemeriksaan di satu daripada lapan kedai makan yang musnah dalam kebakaran di Astaka Jalan Perak, di sini. - NSTP/ZUHAINY ZULKIFFLI
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan pemeriksaan di satu daripada lapan kedai makan yang musnah dalam kebakaran di Astaka Jalan Perak, di sini. - NSTP/ZUHAINY ZULKIFFLI

Penghuni pondok, Mohd Amin Rasyidi Abdullah, 28, berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh rakannya.

Beliau yang menyewa sejak empat tahun lalu bersama isteri, Mukminah Fauzi, 28, bergegas pulang sebelum mendapati api sudah memusnahkan segala-galanya termasuk barang jualan kebab yang diusahakan, selain barangan elektrik serta kitab pengajian.

"Alhamdulillah, kami selamat kerana ketika kejadian isteri tiada di rumah kerana pulang ke Kampung di Beris Kubor Besar, Bachok," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pondok Pasir Tumboh, Ahmad Shairazi Atiqullah, berkata pihaknya akan memberi bantuan kepada semua mangsa mengikut kemampuan.

"Kami harap semua 15 orang mangsa bersabar menghadapi dugaan ini dan kita turut mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak untuk meringankan beban mangsa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.03 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Kejadian membabitkan kebakaran 10 unit rumah dengan anggaran kemusnahan lebih 90 peratus daripada keseluruhan struktur separa kekal," katanya.

Penghuni melihat kesan kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kampung Terusan Limbat, Pasir Tumboh, semalam. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Penghuni melihat kesan kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kampung Terusan Limbat, Pasir Tumboh, semalam. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X