Rabu, 30 November 2022 | 12:36pm
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kerajaan diharap teruskan rancangan transformasi Parlimen - Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap meneruskan segala perancangan untuk mentransformasi dan memodenkan Parlimen supaya ia menjadi institusi yang lebih jelas dan tersendiri.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pelbagai usaha sudah dirancang termasuk draf undang-undang yang bolehkan diteruskan Perdana Menteri.

"Pertama ialah berkaitan Akta Pentadbiran Parlimen dan (yang kedua) memperkenalkan undang-undang baharu berhubung hak dan keistimewaan Parlimen bagi menggantikan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 atau membawa pindaan yang sesuai untuk undang-undang terbabit.

"Ketiga pula ialah mewujudkan garis panduan etika...ini pun sudah ada draf yang saya buat pada 2011 dan ia boleh dikemaskini untuk mengisi keperluan semasa," katanya.

Wan Junaidi berkata, kerajaan juga diharap dapat melaksanakan pindaan bagi mengemas kini Peraturan Mesyuarat Parlimen secara menyeluruh.

Katanya, antara peraturan itu adalah berhubung kewujudan jawatankuasa khas Parlimen yang dilihat tidak lagi sesuai dan perlu dipinda dengan mengisi peruntukan berdasarkan keperluan serta kehendak masyarakat umum untuk menubuhkan jawatankuasa Parlimen.

"Selain itu, kita tidak ada sistem dalam peraturan mesyuarat untuk membolehkan Ahli Parlimen membentangkan usul rang undang-undang (RUU) peribadi.

"Saya berpandangan ia perlu ditambah bagi memenuhi keperluan terkini seperti mana (dipraktik) Parlimen di negara lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan perlu meneruskan usaha memperkenalkan Akta Pendanaan Politik yang kini berada di fasa terakhir kerana kerangka serta draf undang-undang itu sudah ada dan kini, perlu diadakan proses libat urus dengan pemegang taruh.

"Libat urus harus dilaksanakan sebab pemegang taruh ini besar dan (perlu) mendapat kelulusan setiap kementerian serta agensi tertentu.

"(Memang) percanggahan banyak dari sudut pandangan, tetapi amat penting untuk kita laksanakan dan kerangkanya sudah pun saya buat," katanya.

Selain itu, Wan Junaidi juga berharap kerajaan dapat meneliti semula undang-undang berkaitan insolvensi yang disifatkannya sebagai menekan, lapuk, lama dan tidak sesuai lagi.

"Ini saya memang minat kerana kita nak jadi negara maju dari sudut ekonomi dan kita mahu menjadi negara yang mempunyai perundangan khusus untuk ekonomi, selain nak menggalakkan Malaysia menjadi negara keusahawanan pada 2030.

"Namun, undang-undang insolvensi kita menekan, lapuk, lama dan tidak sesuai lagi untuk sekarang. Negara lain seperti United Kigndom (UK), Kanada, New Zealand, India dan Singapura sudah mentransformasi undang-undang mereka, kita pula sebaliknya masih tersekat di belakang," katanya.

Berita Harian X