Rabu, 30 November 2022 | 12:18pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sepasang kasut kulit berwarna hitam dipakainya yang diviralkan adalah pemberian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. - Foto Twitter
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sepasang kasut kulit berwarna hitam dipakainya yang diviralkan adalah pemberian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. - Foto Twitter

Saudara nak persoal saya tak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah - Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sepasang kasut kulit berwarna hitam dipakainya yang diviralkan adalah pemberian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Perdana Menteri menerusi Twitter berkata kasut terbabit diberi Tuanku Sultan Johor dua tahun lalu.

"Ia pemberian Tuanku Sultan Johor dua tahun yang lalu. Saudara nak persoal saya tidak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah," kata Anwar.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab satu ciapan menggunakan akaun Naratif Rakyat yang secara sinis membuat sindiran keputusan Anwar menolak penggunaan kereta jenis Mercedes S600 dan gaya pemakaian capalnya, namun hari ini memakai kasut kulit berjenama Louis Vuitton berharga lebih RM5,500.

Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10, kisah Anwar itu terus menjadi perhatian rakyat termasuklah gaya pemakaiannya yang mengenakan capal ketika memulakan tugas rasmi di Pejabat Perdana Menteri.

Anwar juga menolak daripada menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.

Berita Harian X