Rabu, 30 November 2022 | 12:05pm
(Gambar fail) Dr Siti Mariah pada sidang DUN Selangor. - NSTP/FAIZ ANUAR
(Gambar fail) Dr Siti Mariah pada sidang DUN Selangor. - NSTP/FAIZ ANUAR

COVID-19: Selangor rekod purata 6 kematian seminggu tahun ini

SHAH ALAM: Selangor merekodkan purata enam kematian akibat COVID-19 setiap minggu sepanjang tahun ini hingga 19 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata situasi penularan COVID-19 di Selangor sepanjang tahun ini bagaimanapun masih terkawal.

"Purata kematian akibat COVID-19 di Selangor ialah enam kes seminggu. Sebanyak 11 kematian dicatat pada Minggu Epidemiologi (ME) 46 (bermula 13 November) yang berakhir 19 November lalu.

"Dari aspek kadar kematian secara keseluruhan, Selangor mencatat sejumlah 10,911 kes atau 0.7 peratus Case-Fatality-Rate (CFR) sejak COVID-19 bermula. Tahun ini hingga ME 46 pula, sebanyak 939 kematian direkodkan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Secara purata, beliau berkata, sekitar 1,000 hingga 2,000 kes COVID-19 sehari direkodkan di Selangor mulai ME 35 hingga ME 46.

"Mengikut kategori kes yang didaftarkan, majoriti atau 95 peratus adalah kes Kategori 2, manakala 4.5 peratus lagi Kategori 3, 4 dan 5.

"Bagaimanapun untuk tahun ini sejak ME 3, kadar CFR telah menurun kepada 0.1 peratus.

"Data-data berkenaan menunjukkan tahap kawalan bagi penyakit COVID-19 di Selangor kini adalah baik dan memuaskan," katanya.

Dr Siti Mariah berkata, antara faktor menyumbang kepada keadaan semasa itu ialah kadar vaksinasi COVID-19, termasuk dos penggalak yang tinggi, dengan meliputi lebih 90 peratus penduduk Selangor.

"Faktor lain ialah fasiliti kesihatan awam mampu menampung kes dalam Kategori 3, 4 dan 5. Selain itu, aktiviti pendidikan kesihatan berterusan dijalankan bagi mengingatkan orang awam mengenai TRIIS (uji, lapor, maklum, asing dan mendapatkan rawatan) serta kepentingan menjaga kesihatan kendiri," katanya.

Namun, beliau menjelaskan, aktiviti promosi bagi menggalakkan masyarakat mengambil vaksin dos penggalak kedua perlu diteruskan, terutama untuk golongan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit kronik dan ibu mengandung.

"Ini kerana kemunculan XBB menunjukkan peningkatan kadar kebolehjangkitan, walaupun kadar kematian akibat subvarian baharu itu masih rendah," katanya.

Berita Harian X