Sabtu, 26 November 2022 | 10:48am
(Gambar fail) Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda. - FOTO BERNAMA

Ahli Parlimen Bebas dari Kudat sokong Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda yang memenangi persaingan lima penjuru sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mengesahkan sokongan beliau kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Verdon berkata, beliau menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Terima kasih tidak terhingga kepada masyarakat di Parlimen Kudat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui Parlimen Kudat pada PRU15. Seperti yang dijanjikan dalam jelajah kempen saya, Parlimen Kudat tetap akan menjadi kawasan menyokong kerajaan.

"Ia adalah demi kepentingan kawasan Parlimen ini agar kita tidak ketinggalan dalam arus pembangunan, serta menjadikan Parlimen Kudat hebat semula setanding kawasan lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Verdon berkata, beliau telah menemui Anwar di Putrajaya, semalam, bersama-sama Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM), Datuk Peter Anthony; Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu; dan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.

Kelmarin, Peter dilaporkan berkata, KDM akur dengan titah Al-Sultan Abdullah agar Kerajaan Perpaduan diwujudkan demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

Penamaan calon PRU15 pada 5 November lalu menyaksikan Riduan mencalonkan diri bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tenom.

Pada 11 November lalu, Peter mengesahkan penyertaan Riduan ke dalam partinya sambil menjelaskan Riduan kekal bertanding sebagai calon Bebas tetapi dibantu jentera parti itu. – BERNAMA

Berita Harian X