Jumaat, 25 November 2022 | 6:04pm
Semua pihak diminta tampil melaporkan kes keganasan terhadap wanita. - Foto hiasan
Semua pihak diminta tampil melaporkan kes keganasan terhadap wanita. - Foto hiasan

KPWKM seru semua pihak hentikan keganasan terhadap wanita

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) komited menghentikan keganasan wanita melalui pelaksanaan Kempen We Eliminate Violence Against Women (WeVAW).

Menerusi kempen WeVAW itu, KPWKM berharap agenda menghentikan keganasan terhadap wanita dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh, seiring aspirasi di peringkat antarabangsa.

Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, berkata kementerian itu komited dalam menangani isu keganasan terhadap wanita, yang bukan sahaja menjadi isu di negara ini malah seluruh dunia.

"Keganasan terhadap wanita perlu ditangani secara menyeluruh kerana terdapat pelbagai bentuk keganasan, termasuk penderaan fizikal, psikologi, emosi dan sosial," katanya sempena sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita, hari ini.

Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita disambut pada 25 November setiap tahun di seluruh dunia berikutan isu keganasan terhadap wanita sering kali menjadi fokus utama kerana boleh berlaku melangkaui batas sempadan, agama, bangsa dan budaya.

Tema pada tahun ini ialah Unite! Activism To End Violence Against Women & Girls!, yang menekankan kepentingan kesepakatan dan perpaduan bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua.

Mengulas lanjut, Dr Maziah berkata, pelbagai usaha digerakkan oleh KPWKM dalam menangani isu berkenaan seperti penubuhan Skuad WAJA, yang bertujuan untuk memperkasa komuniti melalui program bimbingan psikososial dan aktiviti dalam komuniti.

"Khidmat sokongan dan perlindungan juga turut diberikan melalui Pusat Perlindungan, Pusat Transit dan Pusat Psikososial Setempat (PSSS) bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga.

"Dalam usaha untuk memperjuangkan nasib wanita supaya terus dibela, Akta Antigangguan Seksual atau AAGS 2022 diwartakan pada 18 Oktober 2022. Ia antara lain menyediakan persekitaran yang selamat khususnya kepada wanita.

"Program advokasi AAGS dilaksanakan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat supaya segala bentuk gangguan seksual dihentikan sebelum akta ini dikuatkuasakan," katanya.

Pada masa sama, KPWKM turut memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyelesaikan kes video viral seorang suami yang memukul isterinya tanpa belas kasihan, baru-baru ini dan pelaku mengaku bersalah serta dijatuhi hukuman penjara serta denda.

Dr Maziah berkata, KPWKM turut memandang serius kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang mati disyaki akibat didera dan mangsa didapati cedera teruk sehingga koyak usus dan ada kesan hentakan di kepala.

"KPWKM menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat untuk memberikan kerjasama kepada PDRM dalam siasatan kes ini supaya pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan.

"Setiap lapisan masyarakat perlu bersama-sama dalam usaha menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita kerana usaha berterusan dalam membanteras keganasan terhadap wanita adalah tanggungjawab semua pihak," katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk tampil melaporkan kes keganasan dengan menghubungi PDRM atau Talian Kasih 15999 atau talian 0192615999.

Berita Harian X