Khamis, 24 November 2022 | 6:10pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Sungai Padang Terap melepasi paras bahaya - JPS

KUALA LUMPUR: Sungai Padang Terap di Kampung Kubu di Padang Terap, Kedah direkod melepasi paras bahaya hari ini, sekali gus memungkinkan risiko untuk berlakunya limpahan air sungai serta banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web rasmi memaklumkan Sungai Padang Terap direkod pada paras 13.33 meter (m) berbanding paras normal 13.02 m.

Selain itu, dua lagi sungai di Kedah iaitu Sungai Kerian di Rumah Pam Bandar Baharu dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di Kota Setar direkod melepasi tahap bahaya dengan bacaan 1.35 m hingga 1.59 m berbanding paras normal 1.3 m hingga 1.5 m.

Dalam pada itul, JPS turut melaporkan dua lagi sungai melepasi tahap amaran iaitu Long Teru di Miri, Sarawak dan Sungai Muar di Buloh Kasap di Johor.

Sungai lain yang mencapai tahap waspada adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman di Kota Setar, Kedah; Sungai Similajau di Bintulu dan Kuala Balingian di Mukah di Sarawak; Empangan Sembrong di Batu Pahat; Parit Keliling di Kampung Pasir; Sungai Sembrong di Batu Pahat, Johor.

Sementara Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera dan Sungai Triang di Bera, Pahang direkodkan pada tahap waspada.

Berita Harian X