Rabu, 23 November 2022 | 11:20am
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

PN, BN kerjasama bentuk Kerajaan Pahang, Wan Rosdy kekal MB?

KUANTAN: Tiga negeri mengadakan pemilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Ia melakar kejutan bersejarah apabila Perlis yang disifatkan 'deposit tetap' Barisan Nasional (BN) bertukar tangan kepada penguasaan Perikatan Nasional (PN), manakala Perak pula membentuk kerajaan campuran BN-Pakatan Harapan (PH).

Di Pahang pula, PN berjaya membolot 17 kerusi DUN dan diikuti rapat oleh BN dengan 16 kerusi, sementara PH meraih lapan kerusi. Bagaimanapun, teka-teki pembentukan kerajaan negeri itu terus berlegar pasca PRU15 berikutan tiada pengumuman rasmi hingga kini.

Segala tanda tanya yang belum terjawab mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai gandingan parti politik untuk membentuk kerajaan campuran dijangkakan sama ada PN-BN atau PH-BN di Pahang.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik mengetuai rundingan mewakili PN berhubung pembentukan Kerajaan Pahang, seolah-olah membayangkan kerjasama berkemungkinan terjalin antara PN dengan BN.

Menerusi hantaran dalam Facebook beliau, hari ini, Tuan Ibrahim yang memenangi kerusi DUN Cheka di Parlimen Lipis pada PRU15, meminta didoakan kebaikan untuk Pahang.

"Doakan kebaikan untuk Pahang. Insya-Allah," katanya dalam hantaran ringkas itu yang turut kongsikan gambar beliau bersama Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dengan disertai beberapa individu lain.

Ketika ini, jawapan kepada persoalan hasil rundingan kerjasama dalam lingkungan tiga gabungan parti politik itu ke arah pembentukan Kerajaan Pahang, terus dinanti-nantikan khususnya oleh rakyat negeri itu.

Sementara itu, spekulasi lain ialah pembentukan kerjasama di antara BN dan PH dengan Wan Rosdy dijangka terus mengekalkan jawatan Menteri Besar, terpulang atas perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah sebagai berkata, perbincangan sudah dibuat oleh DAP Pahang, namun rundingan dengan BN negeri akan dijalankan oleh Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, PH Pahang juga sudah membuat keputusan menyokong Wan Rosdy untuk terus menerajui kerajaan negeri selaku Menteri Besar andai kerjasama dengan BN berjaya direalisasikan.

Berita Harian X