Selasa, 22 November 2022 | 2:41pm

UMNO perlu buat mesyuarat MKT jelaskan perkembangan

KOTA BHARU: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu diadakan segera bagi membolehkan semua ahli mengetahui perkembangan yang berlaku dalam parti.

Ahli MKT, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, turut kecewa apabila mesyuarat MKT yang ditangguhkan pada Ahad lalu sehingga kini belum diadakan.

Malah katanya, kerjasama yang diambil oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Perak juga tidak melalui mesyuarat MKT.

"Saya turun ke Kuala Lumpur apabila selepas mendapat jemputan mesyuarat MKT Ahad lalu, namun sebaik tiba di sana saya dimaklumkan mesyuarat ditangguh dan sehingga kini belum diadakan.

"Saya sangat dukacita, ada pemimpin adakan rundingan sana-sini, sedangkan kita ahli MKT tidak tahu apa-apa, malah apa pimpinan parti lakukan pun kita tidak tahu.

"Justeru saya menggesa supaya mesyuarat MKT perlu dilakukan segera bagi membincangkan isu dalaman parti," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Md Alwi turut meminta UMNO menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tidak menjadi 'barang dagangan' untuk bekerjasama dengan mana-mana parti.

"Kita kalah teruk pada PRU15 dan kita perlu terima hakikat pengundi tolak kita. Jadi pada saya, BN yang mempunyai 30 kerusi itu tidak perlu terhegeh-hegeh tawar diri kepada parti lain.

"Kita kekal sebagai pembangkang, manakala urusan siapa yang menjadi Perdana Menteri, serahkan kepada PH dan Perikatan Nasional (PN) memandangkan parti mereka yang menang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Mesyuarat MKT UMNO yang dijadualkan pada jam 3 petang Ahad lalu ditangguhkan pada saat akhir.

Berita Harian X