Selasa, 22 November 2022 | 11:41am
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama

Surat sumpah berkanun dihantar ke Istana Negara - Azhar

PUTRAJAYA: Ketua parti politik perlu memberi cadangan berserta surat sumpah berkanun kepada Istana Negara mengenai siapa yang dicadangkan menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata beliau tidak mengetahui parti mana yang sudah menghantar surat sumpah berkanun (SD) berkenaan kepada Istana Negara.

Katanya, beliau juga tidak tahu sama ada Perikatan Nasional (PN) sudah menghantar surat sumpah berkanun atau sebaliknya.

"Tugas saya cuma beri notis kepada ketua parti untuk memberi cadangan gabungan dan kemudiannya memberi surat sumpah berkanun.

"Jadi saya cuma beri notis sahaja dan notis itu saya sudah beri pada Ahad (lalu) dan dalam notis itu dinyatakan bahawa dokumen itu perlu diberi kepada Istana Negara bukan kepada saya.

"Ia perlu dihantar kepada Istana Negara sama ada melalui faks, e-mel atau aplikasi WhatsApp yang juga disertakan dalam notis yang saya keluarkan itu," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada surat sumpah berkanun sudah diterima daripada PN serta berapa parti yang sudah berbuat demikian.

Azhar menegaskan, hanya Istana Negara saja yang boleh menjawab berapa banyak surat sumpah berkanun sudah diterima.

Malah, katanya, dalam siaran media yang dikeluarkan Istana Negara pada Ahad lalu juga menyatakan ia meminta kerjasama Azhar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memohon cadangan daripada ketua parti.

Katanya, beliau sudah menjalankan tugas berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan, Yang Dipertuan Agong yang boleh melantik Perdana Menteri.

BH semalam melaporkan, PN sudah mengemukakan surat akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan berkata surat akuan yang dihantar adalah melebihi 112 jumlah Ahli Parlimen.

Pada PRU15 Sabtu lalu, Pakatan Harapan (PH) meraih sebanyak 82 kerusi termasuk di kawasan ditandingi DAP dan MUDA atas logo sendiri.

PN muncul dengan jumlah kerusi Parlimen kedua tertinggi iaitu 73 termasuk kerusi dimenangi calon yang bertanding menggunakan logo PAS.

Berikutan tiada mana-mana parti politik berjaya meraih undi minimum 112 untuk mendapat majoriti mudah, kini PH dan PN sedang sedaya upaya mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Berita Harian X