Selasa, 22 November 2022 | 11:23am

PN terima SD sokongan seorang lagi Ahli Parlimen - Hamzah

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa menerima Surat Akuan Berkanun (SD) daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan, hari ini.

"Surat Akuan Berkanun ini sudah dihantar ke Istana Negara, pagi ini," katanya.

Semalam, Hamzah dalam satu kenyataan berkata, PN sudah mengemukakan SD daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Katanya, bilangan dihantar adalah melebihi 112 SD, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu turut disokong Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa PN memperoleh jumlah sokongan Ahli Parlimen melebihi majoriti yang ditetapkan.

Presiden PAS itu memaklumkan, gabungan berkenaan menunggu jemputan daripada Istana Negara pada bila-bila masa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam bertitah memberi tempoh hingga jam 2 petang ini kepada parti politik untuk berunding mengenai pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - NSTP/DANIAL SAAD
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - NSTP/DANIAL SAAD
Berita Harian X