GEORGETOWN: Pendirian DAP berhubung keputusan membentuk kerajaan campuran bersama Barisan Nasional (BN) adalah sejajar dengan kempimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).
Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata pihaknya akan memberi sokongan terhadap keputusan yang diambil PH itu dan ia dibuat secara bersama memandangkan DAP adalah sebahagian daripada PH.
"Jadi saya tidak mahu cakap lebih daripada itu kerana ia adalah keputusan yang kita ambil bersama bukan sahaja dalam mesyuarat CEC (Jawatankuasa Tertinggi Pusat). Terpulang kepada pimpinan tertinggi PH kita akan sokong keputusan yang mereka buat.
"Kita sebahagian PH jadi kalau PH ada polisi itu (bergabung dengan BN) kita bersamalah dengan keputusan PH," katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Guan Eng ketika ditanya adakah beliau akan atau sudah mengadakan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi PH behubung perkara itu enggan mengulas lanjut.
"Saya tidak mahu komen. Saya baru sampai dari Kuala Lumpur dan bergegas ke sini untuk (menghadiri) pembentangan bajet," katanya.
Sementara itu Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow mengakui mendengar reaksi pengundi terhadap usaha yang dilakukan pelbagai gabungan parti selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan.
"Satu reaksi adalah takut tentang gabungan tertentu yang akan menjadi kerajaan jadi saya mendengar suara-suara sedemikian.
"Dalam hal ini semua tertakluk kepada keputusan parti sebab seorang ahli sudah ada ketetapan parti dan harus mengikut keputusan rasmi parti," katanya.