Ahad, 20 November 2022 | 5:03pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Benarkah BN kingmaker tubuh kerajaan negeri Perak?

IPOH: Biarpun Barisan Nasional (BN) merekodkan prestasi terburuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, parti itu mendakwa sebagai 'king maker' atau memegang kunci kepada penentu pembentukan kerajaan negeri.

Meskipun hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan, sudah pasti BN menjadi sasaran 'ajakan' Perikatan Nasional (PN) yang hanya memerlukan empat lagi kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Berdasarkan keputusan PRU15 awal pagi tadi, PN yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Pengerusi Perhubungan PN negeri, berjaya menawan 26 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) dengan 24 kerusi.

Walaupun dari segi angka, PN sedikit kehadapan berbanding PH, namun kedua-dua gabungan parti itu ada peluang untuk membentuk kerajaan negeri jika berjaya 'memujuk' BN untuk bekerjasama membentuk satu jajaran baharu politik negeri itu.

Mengambil kira peluang yang ada, PN sudah pasti memilih BN sebagai 'rakan' untuk membentuk kerajaan negeri Perak, berdasarkan ketegasan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media awal pagi tadi, yang menolak sebarang kerjasama dengan PH.

Ketetapan Muhyiddin sekali gus menunjukkan ia menjadi satu syarat yang mesti dipatuhi PN Perak untuk menjalinkan kerjasama dengan sesiapa sahaja, kecuali PH.

Sehubungan itu, kemungkinan besar kerajaan negeri Perak akan dibentuk berdasarkan kerjasama antara PN dan BN.

Namun begitu, di pihak BN adakah 'dasar' tolak BERSATU seperti pernah ditegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, terus menjadi pendirian utuh gabungan parti itu, sehingga menutup peluang kerjasama dengan PN.

Meskipun Muhyiddin pernah menegaskan tidak mahu UMNO sebagai rakan kerjasama PRU15, berdasarkan kenyataannya sebelum ini, nada Presiden BERSATU itu sedikit lembut apabila menyatakan tidak menolak kemungkinan akan berkolaborasi dengan BN pasca PRU15.

Beberapa pemimpin antaranya Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Husein turut memberi isyarat bahawa beliau menolak sebarang kerjasama dengan PH.

Ia umpama memberi satu bayang jelas bahawa akan wujud satu kerjasama antara PN dan BN, bukan sahaja di peringkat Persekutuan malah negeri khususnya di Perak.

Jika diteliti adakah ada ruang dan peluang untuk PH bekerjasama dengan BN di Perak? Ia mustahil untuk direalisasikan kerana parti bernama DAP yang menjadi musuh utama BN khasnya UMNO.

Tetapi, tidak pula yang meramalkan kemungkinan akan ada kerjasama antara PH dan segelintir pemimpin dalam BN khususnya yang menyebelahi Ahmad Zahid dek kerana 'kemesraan' anak didik dan guru yang merujuk hubungan Ahmad Zahid dengan Anwar menerusi satu perbualan telefon yang pernah tular suatu ketika dahulu.

Mengambil kira 'mood' dan pendirian akar umbi BN terhadap sebarang kemungkinan bekerjasama dengan PH di kerusi DUN Perak, sudah semestinya mereka menolak langkah itu.

Namun begitu, terdapat sebuah NGO di negeri ini yang optimis mahu melihat PH dan BH bekerjasama. Justeru menggesa supaya gabungan parti berkenaan merealisasikan kerjasama antara mereka, bertujuan menstabilkan kerajaan negeri demi rakyat berbilang kaum di Perak.

Gesaan dibuat Presiden Gagasan Melayu Perak, Norali Nordin, yang berpandangan kolaborasi PH-BN umpama menonjolkan komposisi kaum rakyat Perak yang membolehkan ia menjadi daya tarik pelabur asing ke negeri ini.

Mengulas siapa yang harus BN pilih untuk membentuk kerajaan negeri, penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berpandangan langkah parti di peringkat negeri selalunya bergantung atau sejajar dengan ketetapan di peringkat pusat.

Jika BN mahu berkompromi dengan PN membentuk kerajaan negeri Perak, beliau berkata tindakan itu mungkin berisiko sehingga boleh menenggelamkan fungsi dan peranan UMNO dalam BN sebagai parti Melayu kerana BERSATU dan PAS lebih dominan ke arah itu, berdasarkan prestasi PRU15.

Namun, beliau berpandangan, ada kemungkinan BN boleh membuat satu keputusan di luar kelaziman termasuk kesanggupan pemimpin parti itu mengetepikan pendirian menolak DAP, dengan menjalinkan kerjasama dengan PH.

"Sekiranya BN menyertai PN, fungsi mereka sebagai pejuang Melayu ditenggelamkan oleh BERSATU dan PAS. Justeru, mengapa tidak BN ambil langkah berbeza dengan sanggup berkompromi bagi membentuk satu jajaran berbeza dengan PH yang turut dianggotai DAP.

"Tetapi untuk merealisasikan langkah itu, pemimpin dan ahli BN kenalah sanggup berkompromi dan letak jauh-jauh 'dasar' menolak DAP. Melalui kerjasama dengan PH, mungkin BN boleh ditugaskan sebagai parti untuk menjuarai hal ehwal Melayu sekali gus menarik pengundi kaum itu," katanya.

Berita Harian X