KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan menggunakan hubungan baiknya dengan pihak luar negara untuk menarik pelaburan ke Malaysia sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, tekad berkenaan antara usahanya untuk memberikan tumpuan penuh kepada hal ehwal berkaitan ekonomi jika menjadi Perdana Menteri selepas PRU15, bagi mengatasi isu kenaikan harga barang dan prestasi ringgit yang semakin buruk.
Calon PH di Parlimen Tambun itu berkata, beliau percaya mampu menggunakan hubungannya dengan pihak antarabangsa kerana masih kekal berkomunikasi dengan beberapa individu berpengaruh di luar negara.
"Nak jadi pemimpin kena ada rencana ekonomi, ada hubungan antarabangsa yang baik, boleh bercakap dengan Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Eropah, Arab, Turki, India, China.
"Sebab apa saya kekalkan komunikasi (dengan pihak luar negara) sampai sekarang? Mesej Presiden Turki (Recep Tayyip Erdogan), mesej kawan di AS. (Sebab) saya nak guna itu.
"Erdogan jika kamu saudara saya, Emir Qatar (Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani) kalau kamu dah baik dengan saya...sebaik saja saya ambil alih kuasa, panggil orang-orang ini minta tolong bawa pengusaha, bawa pelabur datang angkat semula ekonomi Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Rakyat di Desa Pandan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar menyindir Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh DAP menyokong komunis, sedangkan pernah berpelukan dengan pemimpin DAP seperti Pengerusinya, Lim Guan Eng suatu ketika dahulu.
"Kalau betul ada (DAP) yang komunis laporlah. Polis ada, ambillah tindakan. Saya tiada simpati. Tapi (sebenarnya) tak setuju dengan kita, jadi (tuduh DAP) komunis.
"Hari itu yang kamu peluk Guan Eng? (Abdul) Hadi ini peluk Guan Eng lebih erat daripada saya peluk Guan Eng. Boleh tengok gambar.
"Dulu DAP yang sokong dia, sekarang ini (sudah tukar) DAP komunis, DAP antiperlembagaan, DAP nak jajah Malaysia....apa benda ni ustaz," soalnya.
Sebelum ini, Abdul Hadi memuat naik poster tertulis '#TolakDAP pro-komunis' di media sosialnya dan menyifatkan komunisme sebagai fahaman yang menolak kepercayaan kepada Tuhan.
Presiden PAS itu mengaitkan tiga tindakan DAP dengan fahaman komunisme, iaitu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, menyertai perhimpunan memperingati komunis dan menerbitkan komik berideologikan komunisme.