Rabu, 16 November 2022 | 4:38pm

Beli akhbar BH dapat biskut, tiket bola percuma

KOTA BHARU: Sajian berita terkini dengan kandungan yang padat menarik minat pembaca untuk terus kekal membaca akhbar BH sama ada melalui versi digital mahupun cetakan.

Bagi peniaga, Abdullah Taib, 51, sejak dari dulu sehingga sekarang, surat khabar BH tetap menjadi pilihannya disebabkan isi kandungan berita yang padat dan kini menjadi tumpuan adalah mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Pada masa sama, laporan berita eksklusif selain susunan berita mengikut segmen juga menjadikan akhbar BH sebagai salah satu naskah pilihan sekali gus menyebabkan saya tertarik untuk terus mendapatkan informasi menerusinya.

"Bagaimanapun, sesuai dengan peredaran zaman, apabila tidak sempat membeli akhbar BH di mana-mana kedai, saya akan mengikutinya secara dalam talian kerana berita yang dipaparkan adalah lebih kurang sama," katanya ketika

ditemui pada program BH bersempena Bola Sepak Piala Dunia dengan kerjasama Julie's di perkarangan Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Pesara kerajaan, Fauzi Hussin, 57, berkata, BH tetap menjadi pilihannya sekalipun ada sumber yang lain untuk melakukan carian atau capaian berita diperlukan di dalam Internet.

"Walaupun semuanya kini di hujung jari dan hanya menggunakan kata kekunci di dalam Internet untuk mencari laporan berita yang hendak dibaca, ia tidak sama apabila membaca akhbar yang masih lagi relevan terutamanya golongan yang sudah berusia.

"Justeru, tidak hairanlah walaupun dengan kecanggihan teknologi digital saya masih menjadikan akhbar BH sebagai rujukan kerana ia melaporkan berita yang sahih," katanya.

Sementara itu, Pengurus Unit Pemasaran Dan Langganan NSTP, Tengku Kaifimirza Tuan Cherit @ Tengku Hamzah, berkata program penjualan 1,000 naskah BH pada hari ini dan esok adalah bersempena Bola Sepak Piala Dunia dengan kerjasama Julie's.

"Menerusi program ini, pelanggan yang membeli akhbar BH akan diberikan Biskut Choco More serta tiket percuma perlawanan bola sepak di antara Kelantan FC dan Zero FC yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV bermula pada jam 3 petang esok," katanya.

Bagi peminat bola sepak di Kota Bharu yang ingin mendapatkan tiket perlawanan sepak boleh membeli naskah BH di Pasar Besar Siti Khadijah dan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV atau boleh menghubungi Tengku Kaifimirza di talian 010-8055011.

Tengku Kaifimirza (kanan) bersama dengan pelanggan BH di perkarangan Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Tengku Kaifimirza (kanan) bersama dengan pelanggan BH di perkarangan Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X