Selasa, 15 November 2022 | 3:31pm
MetMalaysia meramalkan tiada hujan pada pagi hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
MetMalaysia meramalkan tiada hujan pada pagi hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Cuaca baik pada pagi hari mengundi - MetMalaysia

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik waktu pagi di beberapa negeri, pada hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Jabatan itu dalam laman sesawangnya, meramalkan tiada hujan pada sebelah pagi di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, MetMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang, terutamanya di negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Cuaca di Putrajaya dijangka baik pada sebelah pagi dan petang, manakala Labuan pula diramal mengalami ribut petir di beberapa tempat pada pagi dan petang.

Cuaca dijangka baik di Sarawak pada pagi Sabtu, namun ribut petir diramal berlaku di satu dua tempat di kawasan pedalaman di negeri itu pada waktu petang, manakala Sabah dijangka mengalami ribut petir di satu dua tempat pada pagi dan petang.

Suhu di seluruh negara pada Sabtu diramal sekitar 22 darjah Celsius, dengan suhu maksimum pada 33 darjah Celsius.

Selain itu, MetMalaysia menyebut, berdasarkan analisis model cuaca, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan tempat di pedalaman dan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah, terutamanya pada sebelah petang hingga malam, di antara 15 November hingga 21 November ini.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat cuaca yang terkini dan sahih.

Berita Harian X