BUKIT KAYU HITAM: Paras Sungai Sintok dilapor melebihi paras bahaya dan melimpah, menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir susulan hujan lebat hampir empat jam hari ini.
Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, pemantauan anggota APM Kubang Pasu mendapati Taman Alma Dan Perumahan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dinaiki air.
Beliau berkata, hujan lebat dilaporkan sejak jam 2 petang tadi dan masih renyai hingga malam ini.
"Pemantauan turut dilakukan di sekitar kawasan dilanda banjir termasuk di Jalan UUM dan Sungai Sintok serta kawasan tumpuan paras air naik.
"Paras Sungai Sintok kini melepasi tahap bahaya manakala tahap sungai lain masih terkawal.
"Anggota APM Kubang Pasu masih melakukan pemantauan ketika ini dan dalam bersiap sedia," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Suhaimi berkata, belum ada mangsa dipindahkan atau pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, penduduk di kawasan berhampiran Sungai Sintok dinasihatkan bersiap sedia berpindah sekiranya sungai terus melimpah.