Khamis, 10 November 2022 | 2:49pm
Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kiri) dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kiri) dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Keyakinan orang ramai sudah terjejas - Tengku Maimun

PUTRAJAYA: Keyakinan orang ramai sudah terjejas sebaik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan media Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali disiasat, berkaitan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan menyatakan demikian, ketika mendengar permohonan dua peguam dan seorang aktivis yang memohon mahkamah itu menentukan persoalan undang-undang, berkaitan siasatan terhadap Mohd Nazlan.

Mohd Nazlan Hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, pada 28 Julai 2020 dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.

Dalam prosiding hari ini, Tengku Maimun menimbulkan persoalan kepada Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mengenai apa yang akan berlaku, jika dakwaan terhadap Mohd Nazlan tiada sebarang asas dan tidak ada keputusan melalui siasatan SPRM.

Horng Bin bagaimanapun menjawab, siasatan yang dimulakan ialah budi bicara SPRM.

Tengku Maimun: Kami tidak mempersoalkan budi bicara pendakwaan. Bagaimana (siasatan) itu memberi kesan kepada kebebasan Badan Kehakiman?

Horng Bin: Keyakinan orang ramai akan dipulihkan jika hakim itu bebas (daripada dakwaan). Jika (SPRM) tidak mengeluarkan hasil keputusan siasatan, anda perlu melihatnya sebagai tiada asas kepada aduan itu.

Tengku Maimun: Tetapi keyakinan orang ramai sudah terjejas sebaik kenyataan dibuat bahawa seorang hakim sedang disiasat. Itu sudah menjejaskan keyakinan orang ramai. Adakah anda menyatakan kemudian perlu tunggu hasil siasatan?

Horng Bin: Ya. Dalam kes berprofil tinggi, itu amalan badan siasatan dan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai perkembangan siasatan. Kenyataan media akan diberikan mengenai perkembangan siasatan dan hasilnya.

Badan Kehakiman perlu mengambil notis kehakiman berhubung perkara ini.

Melalui saman pemula difailkan pada 6 Mei lalu di Mahkamah Tinggi, ketiga-tiga plaintif memohon perisytiharan SPRM tidak berhak menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat, kecuali jika mereka digantung mengikut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga-tiga plaintif, Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Fathillah Mohamed Ibrahim menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan sebagai defendan dengan menuntut perisytiharan bahawa siasatan terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan Pendakwa Raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding, bagi kesalahan terhadap hakim yang berkhidmat.

Selepas mendengar hujahan Horng Bin mewakili kerajaan dan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar bagi pihak perayu, Tengku Maimun memaklumkan kepada semua pihak mahkamah memerlukan masa, sebelum membuat keputusan.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Najib gagal pada rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS
Najib gagal pada rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS

Berita Harian X