Ahad, 6 November 2022 | 2:47pm
 Zuraida beramah mesra dengan komuniti Sikh di Gurdwara Sahib Ampang. NSTP/ SUHAEL ADNAN
Zuraida beramah mesra dengan komuniti Sikh di Gurdwara Sahib Ampang. NSTP/ SUHAEL ADNAN

'Jenama Zuraida' mampu tawan Ampang

AMPANG: Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin yakin 'jenama Zuraida' cukup berpengaruh untuk memberi saingan sengit dan menumpaskan calon daripada parti besar seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Ampang.

Penyandang kerusi Parlimen Ampang selama tiga penggal itu percaya khidmatnya selama kira-kira 15 tahun di kawasan itu cukup untuk meyakinkan pengundi memilihnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berbanding calon parti lain.

Katanya, kebanyakan penduduk di Ampang sudah mengenali nama Zuraida yang menjadi 'jenama tersendiri', sekali gus yakin pengundi sedia memilihnya walaupun tidak lagi bertanding di bawah tiket PH.

"Zuraida itu saya sendiri kerana orang nampak saya terbabit secara langsung, turun padang, aktif kerja dalam dan luar negara.

"Selepas dua hari kempen, saya lihat pengundi tidak ada isu dengan saya. Mereka mengenali saya yang yang sentiasa hadir ke rumah memberi pertolongan, aktivis dan sebagainya.

"Saya juga berpengalaman berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri, pengalaman reformasi dan pernah menjadi menteri. Insya-Allah, boleh (mampu menang di Ampang)," katanya selepas melawat Gurdwara Sahib di sini, hari ini.

Zuraida mula menjadi Ahli Parlimen Ampang pada PRU12 mewakili PKR sebelum mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dan PRU14, namun kemampuannya terus menang di kerusi itu menjadi persoalan berikutan tampil bertanding mewakili PBM pada pilihan raya kali ini.

Pada PRU14, Zuraida yang bertanding mewakili PH, menang besar dengan majoriti 41,956 undi dalam pertembungan empat penjuru melawan calon BN, Leong Kim Soon; Nurul Islam Mohamed Yusoff (PAS) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Tan Hua Meng.

Ditanya mengenai manifestonya kali ini, Zuraida berkata, ia berteraskan enam tonggak iaitu kepelbagaian kaum, pemerkasaan wanita dan belia, pendidikan, teknologi serta ekonomi.

"Saya percaya dalam pendidikan dan akan memperuntukkan RM1 juta daripada peruntukan Ahli Parlimen Ampang untuk sekolah di kawasan ini," katanya memaklumkan akan turut memberi peruntukan kepada rumah ibadat di Ampang.


Suara Kita

Berita Harian X