Selasa, 1 November 2022 | 7:13pm

Kalau tidak berintergriti, melakukan rasuah mana nak sorok muka - Ketua Hakim Syarie Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR) memandang serius termasuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap kakitangan jabatan berkenaan yang didapati terbabit dengan rasuah.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, jabatan berkenaan dipandang tinggi oleh masyarakat dan tidak seharusnya perkara atau perbuatan yang menyalahi undang-undang berlaku dalam jabatan berkenaan.

"Ingat, kita ini orang kehakiman dipandang tinggi oleh masyarakat. Kalau kita tidak berintergriti, mana kita nak sorok muka kita. Rasuah berlaku bila kita tiada intergriti.

"Bayangkan kita sebagai 'si penghukum di mahkamah' tetapi dilabelkan sebagai perasuah, sangat memalukan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) JKSTR yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, di sini, hari ini.

Katanya, integriti sangat berkait rapat dengan rasuah dan jika seseorang itu tiada intergriti, ia boleh menyumbang kepada perlakuan rasuah.

Beliau berkata, buku OACP sangat berguna untuk dijadikan rujukan, peringatan dan amaran supaya tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang ketika menjalankan tugas.

"Walaupun sudah ada larangan dalam agama Islam mengenai rasuah tetapi satu peraturan dan kaedah sepertimana buku ini (OAC), kita bolehlah menjadikan buku ini kaedah dan panduan yang lebih spesifik untuk perjalanan pentadbiran yang lebih licin dan baik khususnya yang berkaitan dengan intergriti," katanya.

Sementara itu, Tengku Farok berkata, OACP adalah usaha kerajaan dalam mengekang budaya amalan rasuah di kalangan penjawat awam.

Beliau berkata, penjawat awam adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap perlakuan rasuah, justeru kerajaan memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

"Pelan Antirasuah Nasional (NACP) ini adalah sebagai dokumen utama Kerajaan Malaysia menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah dan pelan OACP merupakan satu cara untuk menyedarkan penjawat awam mengenai bahayanya aktiviti rasuah," katanya.

Tengku Farok berkata, melalui usaha itu, ianya dapat membendung pentadbiran negeri daripada unsur penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada JKSNTR yang telah berjaya menerbitkan Pelan OACP 2022-2026.

Beliau berkata, kerajaan negeri tegas dalam memerangi aktiviti rasuah dan salah guna kuasa yang juga isu kritikal yang sentiasa terpalit di kalangan penjawat awam.

Katanya, sehingga hujung tahun ini, pihaknya berharap semua jabatan dapat menyiapkan buku berkenaan.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri (tengah), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Tengku Farok (dua kanan) dan Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Mat (kanan) melihat buku OACP Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu pada majlis pelancaran buku berkenaan di Bangunan Mahkamah' Syariah. - Foto ZAID SALIM
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri (tengah), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Tengku Farok (dua kanan) dan Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Mat (kanan) melihat buku OACP Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu pada majlis pelancaran buku berkenaan di Bangunan Mahkamah' Syariah. - Foto ZAID SALIM
Berita Harian X